Jumaat, 2 Februari 2018 | 4:13pm

AirAsia rancang beli Boeing 787

MANILA: AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah bercadang membeli pesawat Boeing 787 bagi mengembangkan penawaran oleh anak syarikat penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.

"AirAsia X akan memerlukan lebih banyak pesawat. Kami bercadang membeli Airbus 330 dan 350 serta Boeing 787," kata Tony kepada media di luar forum perniagaan di Manila.

Kumpulan AirAsia yang sudah membuat tempahan bagi Airbus A330 dan A350, secara eksklusif dikaitkan dengan pesawat Airbus, namun pakar industri berkata Boeing 787 sesuai untuk operasi penerbangan jarak jauh.

Tony berkata, kumpulan juga berminat untuk menambah lebih banyak jet jarak jauh Airbus A321neo selepas membeli 100 unit pesawat itu sebelum ini.

"Kami pasti akan memerlukan lebih banyak pesawat lagi pada masa depan," katanya.

AirAsia, yang menerbangkan hampir 200 pesawat selain menjadi pengendali terbesar pesawat paling laris Airbus A320 jet turut memiliki syarikat penerbangan di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun selain merancang berkembang di China dan Vietnam.

Bulan lalu, Tony berkata, kumpulan itu merancang menambah sekitar 30 jet untuk syarikat penerbangannya di seluruh Asia di tengah-tengah pertumbuhan permintaan yang kukuh. - Reuters

63 dibaca
Berita Harian X