Isnin, 29 Januari 2018 | 7:24pm
DATUK Ahmad Maslan (kanan) melihat sebahagian komponen automotif ketika melawat pengeluar bahagian automotif Ingress Technologies Sdn Bhd dibiayai oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di Ingress Technologies Sdn Bhd, Lot 11, Jalan Jasmine 4, Kawasan Perindustrian Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.- Foto Aswadi Alias

MIDF kekal kadar keuntungan pembiayaan

RAWANG: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) akan mengekalkan kadar keuntungan pembiayaan semasanya atau kadar yang dikenakan ke atas pinjaman bagi syarikat kecil dan sederhana (PKS) dan bukan PKS.

Ketika ini, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu menawarkan kadar keuntungan pembiayaan empat peratus bagi PKS dan lima peratus bagi bukan PKS.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, berkata MIDF mengekalkan kadar keuntungan pembiayaannya itu meskipun Bank Negara Malaysia mengumumkan kenaikan kadar faedah pinjaman atau kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 3.25 peratus pada minggu lalu.

"Langkah ini bertujuan membantu PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka," katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Ingress Technologies Sdn Bhd.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd Najib Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari dan Naib Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan Ingress Corporation Bhd, Datuk Rameli Musa.

Sementara itu, Ahmad berkata, MIDF menyediakan dana sebanyak RM800 juta untuk syarikat tempatan tahun ini.

Beliau berkata, daripada RM800 juta itu, RM500 juta untuk tujuan automasi kilang di bawah sektor pembuatan, RM200 juta untuk usahawan di bawah sektor perkhidmatan dan RM100 juta untuk pengembangan perniagaan berkaitan sektor pembuatan.

Di samping, Ahmad berkata, MIDF juga melanjutkan tempoh pembiayaan bagi pembelian mesin dan peralatan bagi mengautomasikan proses pengeluaran sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Beliau berkata, ia bertujuan memberi galakan dan peluang kepada syarikat tempatan membayar ansuran bulanan pembiayaan pada jumlah yang rendah.

Secara keseluruhan MIDF telah meluluskan bantuan pembiayaan berjumlah RM14.2 bilion kepada 10,697 syarikat tempatan sejak penubuhannya pada 1960.

Berita Harian X