Isnin, 29 Januari 2018 | 3:50pm

Boost sasar tingkat rakan dagang

KUALA LUMPUR: Boost, aplikasi dompet elektronik (edompet) yang dibangunkan oleh Axiata Digital, menyasarkan peningkatan rakan dagangnya kepada 100,000 pada penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin, berkata peningkatan itu bakal dicapai menerusi strategi berterusan pihaknya dalam memberikan ganjaran dan maklumat berterusan mengenai aplikasi itu.

Tiffin berkata, sehingga kini Boost mencatat 800,000 pengguna sejak dilancarkan pada 6 Januari 2017.

"Kami optimis dapat meningkatkan jumlah pengguna dan rakan dagang secara konsisten dalam tempoh waktu terdekat kerana dalam tempoh enam bulan, kita mencatat peningkatan pengguna secara berterusan.

"Dari jumlah rakan niaga itu, sebanyak 50 peratus adalah rakan niaga tunai dan selebihnya rakan niaga dalam talian dan perkhidmatan.

"Kita perlu seimbangkan jumlah pengguna dan rakan dagang, lantaran itu tahun ini kami komited untuk meningkatkan jumlah rakan dagang," katanya selepas taklimat media Boost di sini, hari ini.

Selain itu, Tiffin berkata pihaknya turut memberi ganjaran seperti tambahan nilai kredit setiap kali menggunakan aplikasi ini serta terbaru, sempena dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, Boost ingin memberikan pengalaman digital selamat kepada pengguna secara lancar hanya melalui telefon pintar mereka dengan teknologi Boost memberikan pengalaman baharu kepada pengguna.

Boost adalah aplikasi yang merevolusi cara pengguna berurus niaga secara digital dan mudah alih, menggabungkan keperluan gaya hidup pengguna dan teknologi digital terkini.

Aplikasi itu menawarkan urus niaga tanpa tunai lebih mudah, pantas, selamat serta pengalaman lebih memuaskan untuk pengguna.

Pengguna Boost boleh melakukan pembayaran di rakan niaga terpilih sama ada di cawangan fizikal atau dalam talian daripada peniaga pasar malam sehinggalah pembelian di trak makanan, dengan hanya menggunakan aplikasi berkenaan.

Pengguna boleh menambah nilai kredit dengan membuat transaksi secara dalam talian dari 17 institusi perbankan yang menjadi rakan strategik Boost.

"Pengalaman dan kepakaran sebagai peneraju teknologi digital di Asia, membolehkan Boost kini di hadapan dalam menyokong digital ekonomi dan antara e-dompet yang semakin berkembang pesat di pasaran," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Mohd Khairil Abdullah pada pratonton Boost, aplikasi dompet elektronik (edompet) untuk membayar, menghantar, meminta dan menyimpan wang dalam telefon pintar. - Foto Rosela Ismail
Berita Harian X