Khamis, 25 Januari 2018 | 11:10pm

Anak syarikat Brahim's sedia perkhidmatan katering di ETS

KUALA LUMPUR: Syarikat katering halal dalam pesawat, Brahim's Holdings Bhd, menjangka perkhidmatan katering di Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat pada masa depan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Brahim's berkata, anak syarikatnya, Brahim's Sats Food Services Sdn Bhd (BSFS), telah menandatangani perjanjian perkhidmatan katering dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi penyediaan penyelesaian makanan dan minuman.

"Perjanjian itu membabitkan perkhidmatan katering untuk semua ETS, mengendalikan Rail Café yang dikenal pasti di stesen/terminal, membangunkan perisian teknologi maklumat untuk diintegrasikan dengan perisian KTMB bagi tujuan mendapatkan jualan pratempahan makanan, serta mengubahsuai dan menjayakan hab dapur katering yang baharu di stesen Butterworth dan Kuala Lumpur," katanya.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa dan mengikat pihak-pihak yang berkenaan mulai 1 Mei, 2017 dan akan berterusan untuk tempoh permulaan yang ditetapkan selama lima tahun hingga 30 April 2022, katanya.

"Perjanjian itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Brahim's Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatannya pada masa depan," katanya. - BERNAMA

11 dibaca
Berita Harian X