Rabu, 24 Januari 2018 | 5:23pm
LIM Yew Hoe (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Fraser & Neave Holdings Bhd, Tan Hock Beng menunjukkan buku laporan tahunan Syarikat Fraser & Neave Holdings Berhad ketika sidang media 56th Annual General Meeting di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara. - Foto owee Ah Chun

F&N sedia RM25 juta tambah kapasiti kilang

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) memperuntukkan perbelanjaan modal RM25 juta bagi menambah kapasiti kilang pengeluaran F&N Dairies Malaysia untuk memenuhi permintaan pasaran eksport dan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata pelaburan itu bakal menyaksikan kapasiti tahunan kilang tenusu di Pulau Indah, Klang, meningkat sebanyak lima juta kotak daripada 16 juta kotak pada masa ini.

Katanya, pelaburan itu juga bermatlamat mengukuh dan menggiatkan eksport dari Malaysia serta memacu pertumbuhan domestik.

"Langkah ini dijangka mempergiatkan perniagaan eksport syarikat dalam usaha mencapai sasaran jualan eksport RM500 juta dari Malaysia lebih awal daripada masa ditetapkan iaitu menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu, di sini hari ini.

Katanya, penambahan kapasiti lima juta kotak itu juga bakal menjana pendapatan sebanyak RM300 juta kepada syarikat apabila ia digunakan sepenuhnya kelak.

"Kami juga bercadang mempertingkatkan kapasiti di kilang di Rojana dan Pakchong, Thailand dengan menyasarkan eksport berjumlah RM800 juta menjelang 2020 apabila operasi di Malaysia dan Thailand digabungkan," katanya.

Pada masa ini, F&NHB memiliki lima kilang di Malaysia dan dua kilang di Thailand. Syarikat itu kini menerokai pasaran eksport di 55 negara termasuk Angola, Bahrain, India, Iraq, Mexico dan Yaman.

Sementara itu, F&NHB menjangkakan kos pengeluaran rendah pada tahun ini berikutan penurunan harga gula dan pengukuhan nilai ringgit.

"Kami adalah pengimport bersih terutama bagi tepung susu. Pengukuhan ringgit akan memberi impak positif kepada syarikat," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X