Jumaat, 19 Januari 2018 | 10:58am
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh. - Foto Surianie Mohd Hanif

PERODUA sasar 209,000 unit tahun ini

PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menyasarkan menjual 209,000 unit kenderaan pada tahun ini, meningkat dua peratus daripada 204,900 unit tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata pihaknya yakin mampu mencapai sasaran ditetapkan didorong permintaan kukuh berterusan yang diterima terhadap barisan model sedia ada ditawarkan syarikat itu.

Katanya, model Myvi baharu dan Axia dijangka menjadi penyumbang utama jualan syarikat tahun ini.

"Malah, hingga kini, MyVi baharu sudah menerima lebih 36,000 tempahan dengan 11,000 unit sudah diserahkan kepada pemilik.

"Selain itu, momentum jualan dibawa oleh model Bezza pada awal tahun 2017 dan permintaan daripada model lain juga dijangka berterusan pada tahun ini," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminar Rashid berkata, berdasarkan kiraan dibuat pihaknya, dijangkakan jualan keseluruhan industri (TIV) pada tahun ini meningkat kepada 590,000 unit yang menyaksikan penguasaan pasaran PERODUA kekal 35 peratus.

Mengenai prestasi syarikat itu pada tahun 2017, beliau berkata, jumlah jualan 204,900 unit itu adalah lebih tinggi daripada sasaran awal ditetapkan iaitu 202,000 unit.

Namun jumlah itu katanya sedikit rendah daripada jualan 207,100 unit yang dicatat pada tahun 2016, disebabkan keadaan pasaran yang mencabar, persaingan sengit dan garis panduan jual beli yang ketat.

"Bagaimanapun, kami gembira untuk mengatakan jumlah jualan itu akan kembali meningkat tahun ini disumbangkan oleh keadaan ekonomi yang baik serta momentum permintaan Myvi baharu," katanya.

Aminar Rashid berkata, PERODUA juga menjangkakan menerima lebih banyak tempahan Myvi baharu dan sedang berusaha keras untuk memenuhi permintaan terbabit terutama varian enjin 1.5 Liter.

"Syarikat pemasangan kami, Perodua Manufacturing Sdn Bhd kini sedang bekerja lebih masa bagi memastikan penghantaran dapat dilakukan mengikut jadual ditetapkan.

"Peningkatan permintaan tahun ini juga akan menyaksikan pengeluaran kenderaan di kilang kami meningkat iaitu dianggarkan 215,334 unit berbanding 200,146 unit tahun lalu," katanya.

Info:

- Sasaran jualan 209,000 unit pada 2018

- 36,000 tempahan Myvi baharu

22 dibaca
Berita Harian X