Khamis, 18 Januari 2018 | 9:54pm
TENGKU Datuk Seri Zafrul Aziz.- Foto Hasriyasyah Sabudin

CIMB, China Galaxy laksana usaha sama pembrokeran saham

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd dan China Galaxy Securities Co Ltd (CGS), melalui anak syarikat milik penuh masing-masing, CIMB Group Sdn Bhd dan China Galaxy International Financial Holdings Ltd (CGI), menyelesaikan penjualan dan pembelian 50 peratus pegangan dalam CIMB Securities International Pte Ltd (CSI).

Dengan penyelesaian itu, CIMB dan CSI masing-masing mempunyai pegangan saham sebanyak 50 peratus dan akan di jenama semula sebagai CGS-CIMB Securities apabila kelulusan pengawal seliaan diperoleh.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pihaknya gembira dengan kejayaan penyelesaian usaha sama itu dengan China Galaxy.

"Ini menandakan permulaan broker Pan-Asia yang diterajui oleh dua kumpulan utama, satu di ASEAN dan satu lagi di China.

"Langkah ini turut mencerminkan langkah proaktif CIMB kepada perubahan landskap industri pembrokeran saham. Dengan penyelesaian yang baik dan akses pasaran yang lebih besar, saya yakin usaha sama itu akan berjaya dalam menyediakan nilai yang lebih baik kepada pelanggan sedia ada kami dan pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

CSI adalah syarikat pegangan sebelum ini perniagaan pembrokeran saham Malaysia CIMB yang terdiri daripada broker institusi dan runcit serta penyelidikan ekuiti di Indonesia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan, India, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Usaha sama itu menandakan usaha pertama oleh broker saham dari China ke Asia Tenggara dan permulaan kerjasama strategik jangka panjang antara CIMB serta CGS.

Usaha sama itu juga akan mendapat manfaat daripada rangkaian kukuh dan operasi CIMB di Asia Tenggara, selain pengetahuan teknologi CGS, asas pelanggan yang luas dan akses ke pasaran China.

CIMB dan CGS turut melihat usaha sama itu sebagai langkah pertama untuk memudahkan pelaburan dan aliran modal yang lebih baik antara pasaran masing-masing.

Dengan kemasukan perniagaan pembrokeran saham Malaysia CIMB dalam usaha sama tersebut, ia disasarkan selesai pada separuh pertama 2018. -BERNAMA

Berita Harian X