Khamis, 18 Januari 2018 | 8:35pm
PENGERUSI MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin (tengah) menunjukkan produk Minuman Era D bersama Pengarah MARA Negeri Selangor, Megat Zakaria Megat Ahmad (kanan) dan Pengarah Urusan Era D Mansion Sdn Bhd, Zainab Sidek (dua kiri) serta Pengerusi Korperasi Usahawan Ikhwan Sdn Bhd, Datuk Rahim Suboh (dua kanan) di Dewan Ballroom De Palma Eco-Resort, Kuala Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

Usahawan MARA perlu berani teroka pasaran baharu

KUALA SELANGOR: Usahawan Bumiputera seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu lebih berani bersaing dan meneroka pasaran baharu untuk meningkatkan keupayaan perniagaan mereka.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0, mereka tidak seharusnya masih tertumpu kepada pengeluaran satu produk saja sebaliknya menerima cabaran dan berusaha untuk mempelbagaikan produk dan perkhidmatan mereka.

Katanya, sebagai institusi yang diwujudkan untuk membantu golongan Bumiputera, MARA mengambil pendekatan secara bersepadu untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dan dapat bergerak seiring dengan perubahan zaman.

"Kita mahu usahawan MARA mempunyai kemahiran dan pelbagai pendekatan bersepadu dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan, mewujudkan peluang perniagaan, promosi, penyediaan premis dan modal perniagaan.

"MARA juga banyak melahirkan modal insan dengan kemahiran melalui sistem pendidikan dan ini akan memudahkan mereka menceburi bidang keusahawanan yang dipengaruhi Revolusi Perindustrian 4.0 pada masa depan," katanya.

Awang Adek berkata pada tahun ini, lebih RM800 juta diperuntukkan untuk membantu memajukan dan mengupayakan golongan usahawan Bumiputera MARA melalui pelbagai kemudahan pinjaman dan suntikan modal.

Katanya MARA turut memberi perhatian kepada usahawan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang masih berdepan dengan pelbagai kekangan untuk menembusi pasaran terbuka dalam industri pembuatan dan pengeluaran.

"Kita juga prihatin dengan sektor ini dan MARA melaksanakan pelbagai program antaranya Program Pelancaran Produk Baharu dalam Pasaran untuk membangunkan industri itu dengan memaklumkan kepada pelanggan atau bakal pelanggan mengenai kelebihan produk mereka.

"Dengan cara ini, golongan usahawan PKS Bumiputera dapat meningkatkan daya saing dan merebut peluang dalam pasaran terbuka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X