Khamis, 18 Januari 2018 | 6:23pm

Maybank catat transaksi perbankan online RM24b

KUALA LUMPUR: Maybank mencatat peningkatan nilai transaksi perbankan mudah alihnya (Maybank2U) melebihi RM24 bilion pada tahun lalu.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan, Datuk Lim Hong Tat, berkata peningkatan itu disebabkan bilangan transaksi perbankan mudah alih itu meningkat dua kali ganda kepada 1.2 bilion.

Melihat perkembangan positif perbankan mudah alih itu, Maybank memperkenalkan pilihan pembayaran mudah alih digital tanpa tunai baharu menggunakan kod QR, dikenali sebagai Maybank QRPay.

"Maybank QRPay adalah inisiatif digital baharu kami yang membolehkan pelanggan membuat bayaran secara langsung terhadap produk dan perkhidmatan dengan mengimbas kod QR menggunakan peranti mudah alih mereka.

"Pelanggan boleh menikmati fleksibiliti pembayaran serta menetapkan had transaksi harian pilihan berdasarkan pola perbelanjaan mereka dan tahap keselesaan yang diingini," katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata, aplikasi itu bakal dilancarkan sempena Karnival Kewangan Kedah 2018 pada 19 hingga 21 Januari ini di Hotel dan Pusat Konvensyen TH, Alor Star, Kedah.

Beliau berkata, Maybank QRPay disasarkan untuk meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai.

Katanya, selain itu Maybank juga akan mempamerkan ciri pengesahan biometrik baharu aplikasi Maybank2U yang terdiri daripada pengecaman wajah dan suara, sebagai tambahan kepada ciri sebelumnya iaitu pengecaman cap jari.

"Pratonton perkhidmatan baharu kepada pelanggan pada Karnival Kewangan Kedah bertujuan membantu mereka mengalami sendiri ciri baharu yang akan merevolusikan keadaan pembayaran di Malaysia.

"Ciri baharu QRPay serta pengesahan biometrik pada aplikasi perbankan mudah alih kami adalah kunci utama dalam memberikan kemudahan pada pelanggan untuk menjalankan transaksi digital mereka dengan lebih fleksibel disamping melakukan pembayaran tanpa tunai.

"Selain berpeluang untuk membiasakan diri dengan perkhidmatan perbankan digital baharu kami pada Karnival Kewangan, pelanggan juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang telah disediakan di ruang niaga serta memenangi hadiah dan baucar apabila mereka mendaftar untuk produk dan perkhidmatan kami.

"Pada masa yang sama, mereka juga boleh mendapat khidmat nasihat kewangan berdasarkan pelbagai jenis produk pelaburan dan perbankan untuk perancangan kewangan masa hadapan mereka." katanya.

Pelbagai hadiah menarik dan produk Maybank ditawarkan pada karnival itu termasuk pakej pembiayaan ASB, skim pembiayaan PKS, Pembiayaan Pinjaman Bersih PKS Maybank atau Pembiayaan Bersih-I; pelan Insurans dan Takaful serta Maybank Payroll Solution, sistem pemprosesan gaji automatik.

Orang ramai juga berpeluang menguji ciri QRPay baharu melalui pembelian sebungkus nasi lemak secara digital pada harga istimewa dan mengalami kemudahan serta kelancaran aplikasi berkenaan.

11 dibaca
Berita Harian X