Khamis, 18 Januari 2018 | 12:08pm

Sukuk Khazanah Nasional terlebih langganan 5.5 kali

KUALA LUMPUR: Sukuk boleh tukar Khazanah Nasional Bhd bernilai AS$320.8 juta (RM1.27 bilion) mencatat lebihan langganan sebanyak 5.5 kali.

Khazanah Nasional berkata, sukuk dengan tempoh matang lima tahun itu akan diterbitkan menerusi Cindai Capital Ltd, jentera tujuan khas bebas berpangkalan di Labuan.

Seramai 78 pelabur melanggan sukuk itu yang antara lain merangkumi dana lindung nilai, dana arbitraj dan pengurus aset merentas Asia serta Eropah.

Sukuk itu menyedia opsyen menjual pada harga dipersetujui pada akhir tempoh tiga tahun.

Sukuk itu akan merujuk nilai H-saham dalam CITIC Securities Co Ltd (CITIC Securities), firma pembrokeran terbesar China.

Sukuk berkenaan akan disenarai di Singapore Exchange Securities Trading Ltd, Labuan International Financial Exchange Inc dan Bursa Malaysia (di bawah Regim Terkecuali), katanya.

Sukuk distrukturkan berasaskan prinsip Wakalah dan menawarkan pemegang sukuk opsyen untuk menerima tunai atau saham selepas ditukarkan, kata Khazanah.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata permintaan kukuh ke atas sukuk boleh tukar itu menunjukkan kepercayaan kredit Khazanah oleh pelabur.

"Kami bernasib baik dapat menetapkan nilai perjanjian ini ketika sentimen pasaran di China dan Hong Kong positif," katanya.

Khazanah berkata sukuk, dengan tempoh lima tahun, dan pelabur memiliki opsyen yang boleh dilaksanakan pada akhir tahun tiga, ditetapkan menerusi proses penetapan harga dengan persetujuan penjual dan pembeli.

"Berstruktur dengan pembayaran berkala sifar dan hasil 0.00 peratus hingga matang, sukuk boleh tukar itu mencapai tahap akhir yang paling ketat mengikut panduan awal pada kadar premium 40 peratus melepasi harga purata wajaran jumlah saham CITIC Securities pada 17 Januari tahun ini.

"Transaksi terbabit diliputi sepenuhnya selepas pelancaran dan menarik permintaan terakhir sebanyak 5.5 kali saiz terbitan. Sebanyak 78 pelabur yang terdiri daripada pengurus dana jangka panjang, dana lindung nilai, dana arbitraj serta pengurus aset di seluruh Asia dan Eropah melanggannya," katanya.

Khazanah berkata, CITIC Securities adalah penawaran kelapannya dalam format sukuk sejak penerbitan pertama sukuk boleh tukar Telekom Malaysia Bhd pada 2006, dan menambah pelbagai terbitan berjaya dilaksanakan dengan memperoleh anugerah antarabangsa sejak beberapa tahun.

CIMB Group dan JP Morgan ialah pengurus bersama dan pengurus utama bersama bagi urus niaga sukuk ini. - BERNAMA

Berita Harian X