Rabu, 17 Januari 2018 | 1:43pm

Poh Kong jangka harga emas meningkat

KUALA LUMPUR: Poh Kong Holdings Bhd menjangkakan harga emas bakal meningkat kepada AS$1,350 satu auns dalam tempoh terdekat oleh sentimen pengguna yang menggalakkan, disebabkan keadaan geopolitik serantau serta ketidakpastian dalam ekonomi global.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Choon Yee Seiong, berkata harga emas dijangka boleh mencecah AS$1,500 pada penghujung tahun ini.

Secara umumnya, beliau berkata, harga emas meningkat pada tahun kewangan 2017 berbanding tahun sebelumnya.

"Untuk tahun kewangan 2018, ia dijangka terus meningkat disebabkan ketidakstabilan ekonomi dunia," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunannya, sebentar tadi.

Keuntungan sebelum cukai Poh Kong bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Julai 2017 meningkat RM20 juta kepada RM37.48 juta daripada RM17.48 juta dalam tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan pula meningkat kepada RM876.99 juta daripada RM776.53 juta, peningkatan sebanyak RM100.46 juta atau 13 peratus.

Yee Seiong berkata, peningkatan itu disebabkan permintaan pengguna untuk produk emas, produk pelaburan emas serta peningkatan harga emas.

"Malah pembukaan dua cawangan baharu pada 2017 juga mendorong peningkatan ini sebanyak dua peratus atau RM17.35 juta.

"Bagi tahun kewangan 2018, syarikat bakal membuka tiga lagi kedai dengan anggaran perbelanjaan modal antara RM9 juta hingga RM15 juta," katanya

Info:

* Poh Kong mempunyai 94 kedai

67 dibaca
Berita Harian X