Isnin, 1 Januari 2018 | 5:07pm

TRX Lifestyle Quarter akan dibuka 2020

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) Lifestyle Quarter (LQ), blok hab sosial dan gaya hidup di TRX mencatat kemajuan memberangsangkan untuk memenuhi sasaran pembukaan pada 2020.

Pengarah Urusan TRX LQ, Stuart Mendel, berkata kerja cerucuk dan bidur tanah projek itu sudah 20 hingga 30 peratus disiapkan dan kerja pembangunannya akan memasuki fasa menegak tahun ini.

Berikutan itu, beliau menjangka akan berlakunya pertambahan antara 3,000 hingga 4,000 pekerja berbanding 700 ketika ini, berikutan rutin kerja yang akan menjadi lebih sibuk.

"Hingga kini, 26 peratus daripada ruang boleh sewa dalam blok hab sosial dan gaya hidup ini sudah mempunyai penyewa utama. Kami mengambil langkah untuk membuat perjanjian dan menjalin kerjasama strategik dengan penyewa utama sebelum kami memulakan pembinaan projek ini.

"Bagi blok hab sosial dan gaya hidup ini, antara penyewa utama yang sudah dikenal pasti adalah Seibu, jenama terkemuka Jepun bagi segmen gedung serbaneka, jenama pasar raya mewah milik Dairy Farm Group dari Hong Kong serta panggung wayang berkonsep baru yang dikendalikan oleh Golden Screen Cinemas (GSC).

"Kami memilih untuk memberi tumpuan kepada penyewa utama terlebih dulu kerana ia secara tidak langsung boleh mempengaruhi penyewa runcit yang lain. Bagi 2018, kami menjangkakan dapat menyewakan 10 hingga 20 peratus lagi ruang runcit di blok ini," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat kemajuan projek TRX LQ di sini, baru-baru ini.

TRX LQ dibangunkan oleh Lendlease Projects (M) Sdn Bhd (Lendlease) dengan kerjasama TRX City Sdn Bhd. Ia adalah satu daripada projek pembangunan bersepadu terbesar yang dilaksanakan oleh Lendlease di Asia.

Projek TRX LQ dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Selain hab sosial dan gaya hidup, TRX LQ turut dilengkapi dengan komponen kediaman, hotel dan taman yang luas.

Apabila siap kelak, TRX LQ yang terletak di kawasan strategik di tengah ibu negara bakal mengukuhkan peranan Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan dan kewangan utama yang menawarkan perkhidmatan di Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, Mendel berkata, pihaknya menyasar untuk melancarkan projek kediaman pada tahun depan dan dua daripada enam blok residen dijangka boleh diduduki pada tahun 2021 dan 2022.

"Bagi komponen hotel pula, kami masih dalam fasa rekaan dan perancangan lagi. Kami juga sedang berunding dengan beberapa pengendali hotel, bagaimanapun tiada sebarang kata putus lagi dibuat pada masa ini," katanya.

INFO:

TRX LQ

*Dibangunkan di tapak seluas 6.87 hektar

*Mempunyai akses yang baik dengan stesen Transit Aliran Massa (MRT), Lebuh raya MEX, Terowong SMART dan terminal Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura di Bandar Malaysia.

23 dibaca
Berita Harian X