Jumaat, 22 Disember 2017 | 6:28pm
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad hadir pada taklimat prestasi suku keempat PNB dan pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

PNB cadang tingkat pelaburan luar negara

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) bercadang meningkatkan pelaburan luar negaranya dengan tumpuan dalam ekuiti awam dan dana ekuiti swasta global tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata pengurus dana unit amanah itu akan memberi lebih tumpuan kepada pelaburan dalam ekuiti awam global memandangkan ia sudah mempunyai portfolio pelaburan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya melihat adalah masa yang sesuai untuk PNB meningkatkan portfolio pelaburan luar negaranya memandangkan ringgit kini semakin stabil.

Katanya, PNB juga melihat terdapat peluang pertumbuhan kukuh yang ditawarkan pelaburan dalam dana ekuiti swasta global yang mana ia mencatatkan pulangan yang lebih baik dalam tempoh 15 tahun lalu berbanding aset kelas yang lain.

"Strategi kami adakah kekal berhati-hati dalam meningkatkan kedudukan aset antarabangsa kami. Jika ada peluang yang baik, kami akan meningkatkan pelaburan luar negara kami," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat prestasi suku keempat PNB dan pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) di sini, hari ini.

Mengenai pelaburan hartanah di luar negara, Abdul Rahman berkata, PNB akan terus meninjau peluang pelaburan hartanah global yang mampu memberikan pulangan yang menarik.

Beliau berkata, tumpuan PNB kini lebih kepada memindahkan modal yang mana pihaknya akan menggunakan hasil jualan bangunan yang dimiliki di luar negara dengan membeli hartanah global lain yang mampu memberikan pulangan yang tinggi.

Mengulas mengenai prestasi PNB pada 2017, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata PNB berjaya mencapai beberapa kejayaan yang bermakna tahun ini, termasuk peningkatan prestasi kewangannya dengan pendapatan bersih syarikat meningkat 7.1 peratus kepada RM15.4 bilion.

Beliau berkata, PNB berjaya melaksanakan inisiatif transformasi syarikat strategiknya seperti yang ditetapkan bagi 2017, dengan nilai permodalan pasaran meningkat sebanyak RM27.1 bilion setakat ini.

Abdul Wahid berkata, satu lagi pencapaian utama PNB pada 2017 adalah penetapan fatwa "Harus" atau "dibenarkan" untuk semua pelaburan ASB, daripada dua negeri yang belum mengeluarkan fatwa berkenaan iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

Dengan perkembangan terbaru itu, PNB kini telah menerima fatwa "Harus" dari semua negeri, katanya.

Selain itu, sejajar dengan langkah PNB ke arah pengalaman digital yang menyeluruh bagi pelanggan, PNB berjaya melaksanakan penukaran kepada sistem teknologi maklumat (IT) bagi ASNB untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada semua pemegang unit.

PNB juga mengumumkan insentif khas RM200 bagi semua bayi warga negara Malaysia yang lahir antara 1 Januari 2018 dan 31 Disember 2022 di bawah program Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Ia sejajar dengan matlamat PNB untuk menggalakkan amalan menabung dalam kalangan rakyat Malaysia dari usia muda dan dijangka akan memanfaatkan kira-kira 2.8 juta bayi sepanjang lima tahun.

Berita Harian X