Jumaat, 15 Disember 2017 | 6:09pm

AirAsia kaji jual Asia Aviation Capital

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia, mengkaji untuk menjual anak syarikat pajakan pesawatnya, Asia Aviation Capital Ltd (AACL), kepada sebuah syarikat milik China Everbright Group, demikian menurut sumber.

Seorang daripada sumber itu berkata, China Everbright kini menunggu kelulusan pihak berkuasa China untuk pemindahan dana pengambilalihan di luar negara.

AirAsia yang berpangkalan di Malaysia kini sedang berusaha mendapatkan penilaian lebih AS$1 bilion untuk unit perniagaannya, dikenali Asia Aviation Capital Ltd, kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, sehingga ini tidak ada kepastian sama ada China Everbright akan menerima semua syarat diperlukan.

Setakat ini, ada satu lagi syarikat berminat untuk mendapatkan unit perniagaan pajakan AirAsia itu.

Katanya, Pengurusan Aset Pengangkutan Korea juga sebelum ini pernah berminat terhadap Asia Aviation Capital, tetapi kini terkeluar daripada senarai.

Kerjasama dengan China Everbright akan membantu memperkukuhkan hubungan dua syarikat berkenaan, yang sedia membantu untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan kos rendah di China.

Penjualan itu juga dijangka membantu memantapkan kewangan AirAsia, yang menempah beratus pesawat daripada Airbus SE dengan jumlah hutang sebanyak RM9.63 bilion (AS$2.4 bilion) pada akhir September.

Menurut sumber lagi, setakat ini tiada keputusan akhir dibuat dan peluang pembelian masih terbuka.

Sementara itu, jurucakap AirAsia dan China Everbright enggan memberikan sebarang ulasan mengenai perkara itu. - Bloomberg

Berita Harian X