Khamis, 14 Disember 2017 | 9:24pm
Presiden dan CEO Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (kiri) dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk Lim Hong Tat pada pelancaran perintis Maybank QRPay. - Foto NSTP

Maybank lancar versi perintis 'Maybank QRpay'

KUALA LUMPUR: Maybank hari ini melancarkan versi perintis pilihan pembayaran mudah alih tanpa tunai menggunakan kod QR dikenali Maybank QRPay, menjadikannya bank pertama memperkenalkan perkhidmatan sedemikian di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Maybank berkata, Maybank QRPay membolehkan pelanggan membayar produk dan perkhidmatan secara segera hanya dengan mengimbas kod QR pada peranti mudah alih mereka.

"Maybank QRPay bertujuan mempromosikan lebih banyak penggunaan transaksi tanpa tunai di negara ini memandangkan ia dapat dipasang dengan mudah atau digunakan oleh mana-mana individu atau perniagaan yang ingin mengguna pakai cara pembayaran tanpa tunai," katanya.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk Lim Hong Tat, berkata perkhidmatan​​​​​​​ baharu itu dijangka merevolusikan cara pembayaran di antara pelanggan dan peniaga terutama bagi barangan bernilai kecil.

"Kami akan menawarkan proses mudah dan sangat pantas untuk peniaga mendaftar melalui platform mudah alih. Mereka boleh menikmati penerimaan pembayaran daripada pelanggan yang akan berurus niaga menerusi aplikasi Maybank2u," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan itu membolehkan mana-mana peniaga menerima transaksi QRPay daripada pelanggan Maybank, sama ada pelanggan terbabit mempunyai akaun dengan Maybank atau tidak.

Katanya, pada fasa perintis, semua 33 gerai makanan di Laman Menara Maybank​​​​​​​ menggunakan pilihan Maybank QRPay untuk pelanggan sebelum dilancarkan kepada orang ramai pada Januari 2018.

Beliau berkata, Maybank yakin perkhidmatan QRPay berpotensi melengkapkan kad debit atau kad kredit sebagai alternatif kos efektif berbanding tunai disebabkan kos infrastruktur lebih rendah dan peningkatan penggunaan telefon mudah alih di Malaysia.

"Perkhidmatan itu sememangnya berguna bagi peniaga kerana mereka boleh mempunyai akses segera kepada dana mereka yang kemudian boleh digunakan untuk membayar pembekal," katanya. - BERNAMA

11 dibaca
Berita Harian X