Rabu, 13 Disember 2017 | 2:37pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (kanan) mengumumkan Riad Asmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Berhad yang baharu menggantikan Aireen Omar (kiri) pada majlis sidang media di ibu pejabat AirAsia RedQ, Sepang. - Foto Saifullizan Tamadi

AirAsia lantik Riad Asmat CEO baharu

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd merombak barisan pengurusan kanannya dengan melantik Riad Asmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya berkuat kuasa 10 Januari 2018.

Beliau menggantikan Aireen Omar, yang mana dilantik menjadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan - Digital, Transformasi, Perkhidmatan Korporat, berkuat kuasa 9 Januari 2018.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga melantik Bo Lingam sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Perniagaan Penerbangan), Kapten Adrian Jenkins sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Rozman Omar sebagai Pengarah Eksekutif AirAsia International Limited (AAIL).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, berkata perlantikan baharu itu akan menjadikan syarikat penerbangan itu fokus kepada perniagaan terasnya dan perniagaan pertumbuhan digital.

Beliau berkata, dengan Bo Lingam menerajui perniagaan penerbangan akan terus mengukuhkan operasi AirAsia, yang menawarkan perkhidmatan kepada kira-kira 70 juta tetamu setahun.

"Dengan Aireen menerajui perniagaan bukan penerbangan dan digital, ia memberi tumpuan kepada pertumbuhan gangguan bagi perniagaan baharu.

"Dengan pandangannya dalam industri yang diperoleh sejak bertahun-tahun lamanya, keupayaan untuk mencari cara baharu dan banyak kejayaan, Aireen adalah orang yang sempurna untuk memimpin rancangan digital kami," katanya.

39 dibaca
Berita Harian X