Selasa, 7 November 2017 | 7:16pm
BEN (tiga dari kiri) dan Choudhury (lima dari kiri) bergambar bersama selebriti selepas pelancaran tonton bersama ROKKI, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Akses tonton dengan AirAsia

KOTA KINABALU: Platform atas talian nombor satu negara, tonton.com.my kini bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan wifi penerbangan AirAsia, ROKKI dalam menawarkan pengalaman melayari Internet dalam penerbangan.

Kerjasama itu membolehkan penumpang AirAsia menonton pelbagai rancangan pilihan di tonton termasuk filem, drama, gaya hidup, program dokumentari dan kanak-kanak.

Pengurus Besar tonton, Ben Jern Loh, berkata kerjasama itu memberi pengalaman penstriman unik dan luar biasa kepada peminat tonton serta penumpang syarikat penerbangan tambang murah itu.

"tonton teruja diberi peluang untuk bekerjasama bersama-sama ROKKI AirAsia dalam merealisasikan pengalaman tonton di dalam penerbangan.

"Melalui kerjasama ini, penumpang boleh mengakses rancangan kegemaran masing-masing di udara secara langsung di peranti mudah alih melalui ROKKI," katanya kepada media selepas pelancaran usahasama terbabit, di sini, hari ini.

Kira-kira 14 pengamal media berpeluang melayari tonton melalui ROKKI ketika penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, hari ini.

Turut serta ialah selebriti popular yang juga wajah tonton, Ayda Jebat dan Redza Rosli.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Ancillary AirAsia, Choudhury Hassan Peter, berkata pihaknya teruja dengan pembaharuan yang dilakukan ROKKI sekali gus membolehkan penumpang menikmati akses percuma hiburan ROKKI dan platform e-dagang.

"AirAsia sentiasa mengutamakan kemudahan dan keselesaan penumpang dengan tawaran pengalaman penerbangan digital yang hebat dalam memastikan pelanggan kami merasai pengalaman penerbangan berbeza," katanya.

Berita Harian X