Rabu, 25 Oktober 2017 | 8:45pm
AIRASIA telah menerima penghantaran pertama A320neo, yang dipasang di Barisan Pemasangan Akhir Airbus Asia (FALA) di Tianjin, China.- Foto BERNAMA

AirAsia terima penghantaran pertama A320neo

KUALA LUMPUR: AirAsia menerima penghantaran pertama A320neo, yang dipasang di Barisan Pemasangan Akhir Airbus Asia (FALA) di Tianjin, China.

Pesawat berkapasti 186 tempat duduk dan dipasang dengan kabin inovatif Space-Flex itu, digerakkan dengan enjin CFM International LEAP-1A itu, kata Airbus dalam satu kenyataan hari ini.

AirAsia adalah syarikat penerbangan yang menjadi pelanggan terbesar keluarga A320 melalui tempahan sebanyak 578 pesawat, termasuk 404 pesawat jenis A320neo.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata:

"Pesawat Airbus A320 telah banyak menyumbang kepada model perniagaan dan operasi kami.

"Kami menerima A320neo pertama kami pada tahun lalu dan ini adalah pesawat A320neo kami yang ke-13 , ia juga menjadi pesawat ke-184 yang disampaikan oleh Airbus kepada kumpulan kami," katanya.

"Kami amat teruja dengan A320neo, yang memberikan penjimatan bahan api sebanyak 15 peratus dan tambahan jarak perjalanan sejauh 500 batu nautika, ini memberikan tambang yang lebih rendah kepada penumpang kami," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Airbus Commercial Aircraft China, Eric Chen, berkata penyerahan pesawat berkenaan menjadi lambang kejayaan kepada FALA syarikat yang ditubuhkan bagi membantu memenuhi permintaan yang kukuh daripada pelanggan di China dan rantau Asia-Pasifik.

FALA Airbus di Tianjin, dirasmikan pada tahun 2008, menjadi lokasi pemasangan akhir ketiga bagi pesawat berlorong tunggal Airbus, selain di Toulouse di Perancis dan Hamburg, Jerman.

Ia juga adalah barisan pemasangan akhir Airbus yang pertama di luar Eropah. Sehingga sekarang, lebih kurang 340 pesawat telah dipasang dan diserahkan dari kemudahannya di Tianjin. - BERNAMA

Berita Harian X