Rabu, 18 Oktober 2017 | 1:29am
PETER Bellew dikatakan akan meninggalkan Malaysia Airlines untuk kembali menyertai Ryanair sebagai ketua pegawai operasi berkuat kuasa 1 Disember. - Foto fail NSTP

Penstrukturan Malaysia Airlines patuhi pelan pemulihan

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) mematuhi rangka kerja tadbir urus yang baik seperti diluluskan dalam pelan pemulihan lima tahun syarikat penerbangan nasional itu, bermula Ogos 2014.

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berkata, Lembaga Pengarah dan pengurusan Malaysia Airlines mengemukakan pelan utamanya kepada Khazanah selaku pemegang saham tunggal dan penanggung dana penstrukturan semula itu.

Katanya, Khazanah secara kolektif memastikan penstrukturan semula itu menunjukkan kemajuan yang berterusan sehingga kini.

"Kami ingin menjelaskan bahawa spekulasi berdasarkan sumber yang tidak disebutkan namanya dalam artikel New Straits Times (diterbitkan 17 Oktober ) itu adalah salah dan mengelirukan.

"Khazanah juga ingin menjelaskan bahawa tidak ada pegawai kami yang dihubungi oleh New Straits Times untuk memberi komen sebelum artikel berbentuk spekulatif itu diterbitkan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, di sini, semalam.

Semalam, New Straits Times dalam artikel bertajuk 'Campur tangan Khazanah punca Bellew letak jawatan?" antara lain menyebut Khazanah perlu bertanggungjawab atas peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan nasional itu, Peter Bellew.

New Straits Times memetik sumber sebagai berkata, Khazanah bertindak sebagai pengurusan mikro syarikat Malaysia Airlines dan dalam beberapa kes, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu cuba melangkaui keputusan yang dicapai ahli lembaga Malaysia Airlines.

Berita Harian X