Isnin, 16 Oktober 2017 | 3:43pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (tiga dari kanan) memotong riben bersama Ker (dua dari kanan) dan Farouk (tiga dari kiri) simbolik tanda pembukaan rasmi Impiana Hotel Senai, Johor Bahru. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein

Impiana Hotel Senai dibuka di Iskandar Malaysia

JOHOR BAHRU: KCC Development Group melancarkan pembukaan hotel pertamanya, Impiana Hotel Senai di Johor yang bernilai RM50 juta bagi memenuhi keperluan serta pertumbuhan pesat ekonomi wilayah Iskandar Malaysia.

 

Impiana Hotel Senai adalah hotel kelas perniagaan bertaraf empat bintang dan cawangan ketiga diuruskan Impiana Hotels & Resorts Management Sdn Bhd di Malaysia.

 

Pengarah Eksekutifnya, Ker Soon Yong, berkata hotel berkenaan menawarkan 172 bilik termasuk enam bilik eksklusif dilengkapi ruang kerja, akses internet berkelajuan tinggi dan kemudahan moden seperti televisyen satelit.

 

"Rancangan perluasan portfolio kumpulan termasuk dalam cabang hospitaliti sudah dirancang sejak empat tahun lalu dengan pembabitan Impiana Hotels & Resorts Management sejak awal.

 

"Pembinaan Impiana Hotel Senai sejak dua tahun lalu. Dengan komitmen serta kerjasama baik semua pihak terbabit, kami bercadang meningkatkan rangkaian hotel kumpulan tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Pelancaran Impiana Hotel Senai disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Yang hadir sama, Pengarah Eksekutif Impiana Hotels & Resorts Management, Datuk Seri Ismail Farouk.

 

Hotel berkenaan turut dilengkapi tiga restoran, kolam renang infiniti, gimnasium, rawatan refleksologi serta kemudahan majlis atau mesyuarat yang mampu menampung hingga 400 orang.

 

Kedudukan strategik yang hanya mengambil masa kurang 10 minit memandu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), ia pasti menjadi tumpuan pelancong yang ingin bercuti di pusat bandar Johor Bahru, pusat pentadbiran Kota Iskandar serta lokasi sekitarnya.

 

Pengurus Besar Impiana Hotels, Resorts & Spas, Stephan Gnagi, berkata Impiana Hotel Senai bersedia mengambil peluang memanfaatkan pertumbuhan kukuh ekonomi Johor dengan menawarkan perkhidmatan serta keperluan hotel kelas perniagaan di Senai.

 

"Johor terus menjadi antara penyumbang ekonomi utama negara, dan permintaan bagi perkhidmatan hospitaliti berkualiti juga meningkat seiring dengannya," katanya.

 

Sementara itu, Siew Kiong meminta pengurusan hotel dan penggiat industri pelancongan menghantar kakitangan mereka untuk menjalani latihan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

 

Katanya, kerajaan negeri sedia menawarkan kursus yang direka cipta berdasarkan keperluan industri, sama ada dalam bentuk latihan jangka pendek dan separuh masa.

 

"Melihat aliran dan senario perkembangan sektor pelancongan pesat di Johor, perlu memastikan tahap mutu perkhidmatan hospitaliti yang diberikan adalah yang terbaik," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X