Selasa, 10 Oktober 2017 | 6:40pm

Scomi kemuka rancangan gabung tiga entiti

KUALA LUMPUR: Scomi Energy Bhd (SEB) dan Scomi Engineering Services Bhd (SESB) sedang mempertimbangkan penggabungan dengan Scomi Group Bhd (Scomi).

Lembaga Pengarah SEB dan SESB hari ini bersetuju mengemukakan cadangan itu kepada pemegang saham masing-masing untuk dipertimbangkan dan mendapat kelulusan dalam mesyuarat yang akan diadakan kemudian.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Scomi berkata kedua-dua anak syarikat itu akan mendapatkan arahan daripada Mahkamah Tinggi untuk mengadakan mesyuarat.

Di bawah Akta Syarikat, mahkamah diberikan kuasa mengarahkan mesyuarat diadakan dalam kalangan pemegang saham bagi mana-mana skim aturan yang membabitkan penyusunan semula modal saham dengan cara menggabungkan saham

"Selepas menimbang semua aspek, Lembaga Pengarah anak syarikat Scomi berpandangan bahawa cadangan penggabungan adalah kepentingan yang terbaik untuk kedua-dua syarikat," kata kenyataan itu.

Dijangka diselesaikan pada awal Februari 2018, cadangan penggabungan tiga syarikat itu mendapat nasihat daripada Astramina Advisory Sdn Bhd dan MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Mercury Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat bebas bagi menentukan sama ada skim penggabungan itu adil dan wajar kepada pemegang saham.

Scomi mengumumkan cadangan penggabungan itu pada awal Ogos lalu. Proses itu akan dilaksanakan menerusi pertukaran saham dan terbitan waran.

Di bawah rancangan itu, Scomi bercadang untuk menggabungkan tiga entiti senaraian awam berkenaan di bawah Scomi Group Bhd.

Scomi berkata, cadangan itu akan membolehkannya memperoleh kawalan penuh ke atas SEB dan SESB, sekaligus membolehkannya merancang serta menentukan pelan strategik perniagaan menjangkaui kawasan geografi entiti yang digabungkan itu.

Pada penutup dagangan di Bursa Malaysia semalam, saham Scomi diniagakan pada 17 sen, menjadikan permodalan pasarannya RM325.98 juta.

Saham SEB pula diniagakan pada 29.5 sen manakala SESB pada 14 sen.

Permodalan pasaran SEB mencecah RM100.91 juta, manakala SESB RM327.85 juta.

Berita Harian X