Selasa, 10 Oktober 2017 | 6:01pm
KETUA Kad, Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, B Ravintharan bersama pemain bola sepak legenda FC Barcelona, Gaizka Mendieta Zabala dan orang ramai bergambar pada pelancaran kad kredit dan debit Maybank FC Barcelona di Petaling Jaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Maybank perkenal kad kredit, debit FC Barcelona

PETALING JAYA: Malayan Banking Bhd (Maybank) menyasar mengeluarkan 15,000 kad kredit dan 200,000 kad debit jenama bersama Maybank FC Barcelona untuk tempoh 12 bulan akan datang dalam usaha memperkukuhkan segmen perniagaan kadnya.

Ketua Kad, Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, B Ravintharan, berkata Maybank menawarkan kad berkenaan bagi memenuhi segmen pelanggan runcit menerusi kad kredit 'FC Barcelona Visa Signature' dan kad debit "Visa Debit Platinum' di Malaysia.

"Maybank adalah pengeluar kad jenama bersama FC Barcelona pertama di Malaysia yang disasarkan kepada segmen pelanggan mewah baharu.

"Kami harap kad jenama bersama ini dapat diperluaskan kepada pasaran serantau Maybank di Singapura, sekali gus akan menjadi pasaran luar negara pertama bagi kad ini menjelang Januari tahun depan," katanya pada pelancaran kad kredit dan debit Maybank FC Barcelona di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Komersial FC Barcelona, Xavier Asensi dan pemain bola sepak legenda FC Barcelona, Gaizka Mendieta Zabala.

Ravintharan berkata, pihaknya juga menjangkakan jumlah perbelanjaan menerusi penggunaan kad berkenaan mampu mencecah RM130 juta di Malaysia bagi tahun pertama ia dilancarkan.

"Perbelanjaan dalam negara dianggarkan merangkumi kira-kira 60 peratus manakala selebihnya perbelanjaan di luar negara dan pembelian dalam talian," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelancaran kad debit dan kredit Maybank FC Barcelona itu juga dijangka akan memasuki pasaran Singapura tahun depan.

"Kami menyasar untuk mengeluarkan 5,000 kad dalam pasaran negara itu untuk tempoh tahun pertama ia dilancarkan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan FC Barcelona itu adalah satu langkah dalam strategi perbankan pengguna Maybank bagi memastikan pembinaan jenama francais yang kukuh di rantau ASEAN melalui tawaran unik bagi segmen pasaran berbeza.  

"Kad yang disasarkan kepada penyokong FC Barcelona yang juga pelanggan mewah baharu Maybank itu akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam perniagaan kad di negara ini," katanya.

Sempena pelancaran kad itu,  Maybank turut menganjurkan peraduan istimewa, yang mana pelanggan perlu  mendaftar sebagai pemegang kad Maybank FC Barcelona dan berbelanja minimum RM1,000 dalam tempoh empat bulan bagi memenangi lawatan enam hari empat malam ke Barcelona, selain dua tiket tetamu kehormat (VIP) ke Stadium Nou Camp bagi menyaksikan perlawanan FC Barcelona.

Peraduan dibuka mulai hari ini hingga 10 Februari 2018. Pada masa sama kad Maybank FC Barcelona menawarkan ganjaran gaya hidup kepada pemegang kad seperti yuran tahunan hayat secara percuma, dua peratus pulangan tunai untuk perbelanjaan runcit sepanjang tahun bagi 10 bulan dengan had RM50 sebulan. 

Ia juga menawarkan 10 peratus pulangan tunai bagi perbelanjaan runcit bagi Mei dan Jun dengan had RM100 sebulan serta tambahan kadar faedah 0.10 peratus untuk akaun simpanan bagi pemegang kad yang mendaftar secara atas talian dengan Akaun Premier Maybank2U

Berita Harian X