Rabu, 27 September 2017 | 10:10pm

GTR beli peralatan daratan AirAsia X

KUALA LUMPUR: Ground Team Red Sdn Bhd (GTR), anak syarikat milik penuh AirAsia Bhd, memeterai perjanjian jual beli dengan AirAsia X Bhd bagi jualan serta pemindahan peralatan tanjakan/daratan bernilai RM4.63 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, AirAsia berkata di bawah perjanjian sama, AirAsia X juga bersetuju untuk memindahkan seramai 424 kakitangan kepada GTR.

GTR turut memeterai dua perjanjian novasi iaitu masing-masing dengan TCR Solution Sdn Bhd dan AirAsia X dan satu lagi dengan I Tech Engineering, Machinery Sdn Bhd dan AirAsia X.

Mengikut perjanjian novasi dengan TCR and AirAsia X, TCR akan menyerahkan kepada GTR perjanjian perkhidmatan sewa penuh bertarikh 1 September 2015 antara TCR dan AirAsia X serta kontrak pembaikan dan penyelenggaraan TCR yang ditandatangani pada 13 April, 2017 membabitkan AirAsia X and TCR.

Perjanjian inovasi dengan I Tech dan AirAsia X adalah untuk memberi GTR perjanjian pajakan dan penyelenggaraan bertarikh 21 Mac, 2017 antara AirAsia X dan I Tech.

"Tujuan perjanjian jual beli dan novasi itu adalah bagi kemudahan GTR menerusi integrasi kesemua aset kelengkapan darat AirAsia dan AirAsia X.

"Ini akan dilakukan menerusi langkah GTR mengambil alih pemilikan peralatan daratan menerusi perjanjian itu," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Berita Harian X