Selasa, 5 September 2017 | 2:41pm
HAMZAH (dua dari kiri) bersalam dengan Andrew Bunn selepas sidang media mengumumkan kerjasama antara MATTA dan Emirates, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Amirudin Sahib

Emirates tawar tambang istimewa

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) hari ini mengumumkan penyertaan Emirates sebagai syarikat penerbangan rasmi Pameran MATTA, yang akan bermula Jumaat ini.

Ia adalah penyertaan kali ketiga Emirates sebagai syarikat penerbangan rasmi Pameran MATTA sejak September tahun lalu.

Sempena pelantikan kali ketiga itu, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu akan menawarkan tambang istimewa menerusi pesawat Airbus A380 ke beberapa destinasi pelancongan seluruh dunia.

Tambang istimewa bagi kelas Ekonomi dan kelas Perniagaan itu meliputi penerbangan ke beberapa negara di Eropah, Afrika dan Asia Barat.

Ahli Jawatankuasa Pemantau Pameran MATTA, yang juga Bekas Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat, berkata harga istimewa yang ditawarkan Emirates disifatkannya sebagai sangat kompetitif berbanding yang ditawarkan syarikat lain.

"Kami amat gembira dengan kerjasama kali ketiga bersama Emirates, malah saya juga ingin umumkan mereka bersetuju secara prinsip untuk meneruskan kerjasama ini bagi Pameran MATTA pada Mac tahun depan.

"Emirates juga menawarkan penerbangannya untuk hadiah kepada pengunjung Pameran MATTA, termasuklah hadiah utama iaitu tiket penerbangan kelas Ekonomi ke Dubai untuk dua orang, selain penginapan lima hari empat malam tajaan pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan kerjasama antara MATTA dan Emirates, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng serta Pengurus Singapura, Brunei dan Malaysia Emirates, Andrew Bunn.

Sementara itu, Bunn berkata, pihaknya menjanjikan tawaran terbaik kepada pelancong Malaysia sempena Pameran MATTA kali ini.

Katanya, antara tawaran bagi kelas Ekonomi adalah serendah RM2,629 ke London; RM2,449 ke Paris; RM3,419 ke Barcelona; RM2,259 ke Istanbul; RM2,879 ke Rome; RM2,559 ke Kaherah dan RM3,789 ke Dubai.

Sementara itu, katanya, tawaran kelas Perniagaan bermula dari RM10,979 ke London; RM12,959 ke Paris; RM15,039 ke Barcelona; RM10,139 ke Istanbul; RM13,099 ke Amsterdam; RM11,659 ke Kaherah dan RM12,969 ke Dubai.

"Kami memiliki beberapa sasaran dalam kerjsama ini, antaranya untuk meningkatkan jumlah pelancong Malaysia ke Dubai," katanya.

Berita Harian X