Ahad, 3 September 2017 | 9:09pm
PENGARUH Faeez turut mendapat perhatian sehingga dilantik memegang pelbagai jawatan penting persatuan pelancongan tempatan dan antarabangsa. - Foto Mahzir Mat Isa

Tripfez rintis carian hotel halal seluruh dunia

SEGALA-GALANYA bermula daripada minat mendalamnya untuk mengembara ke pelbagai tempat menarik ketika melanjutkan pengajian di Sydney, Australia tidak lama dulu.

"Saya gemar mengembara secara berkumpulan bersama rakan pengajian semasa berada di Australia. Di dalam kumpulan itu, sebahagian daripadanya adalah beragama Islam dan sudah pasti banyak keperluan yang perlu ditunaikan sebagai penganut agama itu, termasuklah menunaikan solat serta mencari makanan halal.

"Disebabkan itulah, sejak itu saya mula memikirkan untuk mengusahakan sesuatu yang dapat memudahkan urusan pengembara beragama Islam di seluruh dunia," kata Faeez Fadhlillah, semasa ditemui BH di pejabat syarikatnya di Subang Jaya, baru-baru ini.

Faeez, 30, adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Tripfez, sebuah portal inovatif yang dikhususkan bagi memenuhi keperluan pelancong beragama Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata, bagi pengembara beragama Islam, antara kesukaran yang dihadapi adalah untuk mencari hotel yang menyediakan hidangan halal, meletakkan arah kiblat di dalam bilik dan tidak meletakkan minuman beralkohol di dalam bar mini.

"Sebenarnya, kita boleh meminta senarai berkenaan daripada hotel tertentu tetapi tidak ramai yang tahu kaedahnya. Kebanyakan portal carian hotel dan pelancongan tidak menyediakan maklumat sedemikian kepada pengembara.

"Di sinilah saya menyedari tiada siapa pun di dunia ini yang cuba meneroka segmen sedemikian, meskipun jumlah pelancong beragama Islam menyumbang ketara kepada industri pelancongan global," katanya.


FAEEZ adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Tripfez, sebuah portal inovatif yang dikhususkan bagi memenuhi keperluan pelancong beragama Islam di seluruh dunia. - Foto Mahzir Mat Isa

Faeez dan rakan universitinya, Juergen Gallistl iaitu seorang rakyat Austria sekitar dua tahun lalu membangunkan laman web http://www.tripfez.com bagi memudahkan umat Islam melancong, menginap di hotel dan menikmati makanan halal ketika berada di luar negara.

"Setakat ini, kami sudah mengadakan kerjasama dengan kira-kira 55,000 hotel dari 55 negara di seluruh dunia dan menyasarkan untuk bekerjasama dengan 100,000 hotel dalam tempoh terdekat ini.

"Tripfez bersedia untuk menunaikan apa saja permintaan pelanggan, antaranya ialah menggantikan sarapan di hotel dengan makanan bersahur semasa bulan Ramadan," katanya.

Beliau berkata, apa yang membezakan portal Tripfez berbanding laman web pelancongan lainnya adalah ia menggunakan perkakas Salam Standard, yang membolehkan pengguna memberi memberikan markah dan reviu kepada pengalaman pengembaraan mereka menggunakan Tripfez.

Katanya, Salam Standard adalah sistem persijilan yang dibangunkan oleh Tripfez untuk memberikan penilaian kepada hotel berdasarkan perkhidmatan dan kemudahan yang mesra pengguna beragama Islam.

"Ia mempunyai butiran seperti sama ada hotel ada menyediakan hidangan halal, memberikan maklumat mengenai restoran halal berhampiran, menyediakan sejadah dan arah kiblat jika diminta. Standard diberikan berdasarkan reviu disampaikan pengguna," katanya.

Buat masa ini, Faeez berkata beberapa kumpulan perhotelan terkemuka dunia antaranya AccorHotels, Movenpick Hotels & Resorts dan Archipelago Hotel Group sudah memohon persijilan berkenaan bagi mempromosikan hotel mereka kepada golongan pelancong Islam.

Ilham niaganya itu menarik minat pemodal teroka terkemuka seperti Gobi Partners dan Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF) yang memberikan sokongan kewangan kepada Tripfez untuk terus berkembang.

Usaha gigihnya itu kini membolehkan Faeez dinamakan salah seorang daripada 40 individu yang mencorak industri e-dagang Asia Tenggara oleh EcommerceIQ, selain kerap dijemput menjadi penceramah di dalam pelbagai seminar dan persidangan pelancongan antarabangsa.

Selain itu, pengaruh anak muda ini turut mendapat perhatian sehingga dilantik memegang pelbagai jawatan penting persatuan pelancongan tempatan dan antarabangsa.


FAEEZ dinamakan salah seorang daripada 40 individu yang mencorak industri e-dagang Asia Tenggara oleh EcommerceIQ. - Foto Mahzir Mat Isa

Kemuncaknya, Faeez turut dinamakan salah seorang daripada 30 tokoh berusia bawah 30 tahun oleh majalah perniagaan terkemuka, Forbes pada 2016; 40 tokoh bawah 40 tahun oleh Prestige; 10 Usahawan Muda Meningkat Naik oleh Top 10; Individu Untuk Diperhatikan 2016 oleh TTG selain merangkul Anugerah Pemimpin Muda Paling Inovatif 2016 oleh UCSI.

Faeez berkata, dalam tempoh terdekat ini, Tripfez akan melancarkan satu lagi produk baharu iaitu pakej pelancongan Muslim di peringkat domestik dan juga beberapa negara seluruh dunia.

Katanya, antara lokasi yang sudah dikenal pasti adalah negara serantau dan beberapa negara di rantau Eropah.

"Bahagian Eropah Tengah adalah kawasan paling menarik yang dikenal pasti untuk mengembangkan rangkaian produk kami," katanya.

PROFIL
Faeez Fadhlillah

Pendidikan:

  • Ijazah Kejuruteraan Mekanikal, University of Sydney
  • Sekolah Sains Hulu Selangor

Jawatan:

  • Ketua Pegawai Eksekutif Tripfez dan Salam Standard
  • Ahli Lembaga Eksekutif Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA)
  • Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA)
Berita Harian X