Jumaat, 25 Ogos 2017 | 7:22pm
DATUK Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto Aswadi Alias

PETROS tak gugat kedudukan PETRONAS

KUALA LUMPUR: PETRONAS menegaskan kehadiran syarikat minyak dan gas baharu milik kerajaan negeri Sarawak, Petroleum Sarawak (PETROS), tidak akan menjejaskan kedudukan dan haknya sebagai pemilik serta penyelia sumber minyak dan gas (O&G) Malaysia seperti termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan langkah kerajaan negeri atau mana-mana entiti milik kerajaan negeri menyertai sektor itu.

Katanya, penyertaan itu perlulah mengikut undang-undang dan mekanisme yang sudah ditetapkan bagi menjamin pembangunan sumber minyak dan gas di negara ini.

"Kami mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri (Sarawak), justeru kami sokong aspirasi mereka untuk terbabit secara aktif dalam sektor O&G di negara itu. Bahkan kami akan terus bekerjasama untuk kebaikan bersama.

"Mungkin, kerjasama kami dengan Petros akan sama seperti mana-mana kerjasama PETRONAS sebelum ini sama ada sebagai penyedia perkhidmatan atau rakan pelaburan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).

"Perkara ini masih dibincangkan dengan kerajaan negeri (Sarawak) dan ia memerlukan kedua-dua pihak untuk dilaksanakan," katanya.

Mengenai sama ada beliau mengetahui permohonan royalti 20 peratus oleh PETROS, beliau berkata, PETRONAS tidak menerima permintaan berkaitan perkara itu daripada entiti baharu itu yang masih belum memiliki ketua eksekutif serta ahli lembaga pengarah.

"Berhubung isu 20 peratus royalti minyak ini, saya percaya semua pihak yang terbabit sangat memahami ia adalah satu urusan sukar.

"Untuk melakukannya di luar daripada kedudukan kita sekarang adalah terlalu sukar kerana terdapat banyak implikasi komersial yang tidak akan diingini semua pihak," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X