Khamis, 24 Ogos 2017 | 8:08pm
DATUK Hamirullah Boorhan (kiri) pada Pelancaran Kad Kredit Emas Pulangan Tunai American Express di Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

Maybank sasar 20,000 pemegang Kad Kredit Emas American Express

KUALA LUMPUR: Maybank menyasarkan menarik sekurang-kurangnya 20,000 pemegang kad kredit baharu dalam tempoh setahun dengan pengenalan Kad Kredit Emas Pulangan Tunai American Express.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan, berkata bank itu menjangkakan pemegang kad baharu berkenaan akan melakukan transaksi perbelanjaan bernilai RM160 juta dalam tempoh itu.

Pengenalan kad baharu itu, katanya, bertujuan memenuhi keperluan segmen pasaran yang mengutamakan penjimatan tunai.

"Segmen pelanggan kami yang pelbagai menyediakan pilihan lebih luas dengan sesetengah daripada mereka mendapati insentif pulangan tunai lebih menepati gaya hidup mereka.

"Kami yakin produk pulangan tunai tanpa had ini akan mewujudkan pembaharuan yang ketara dalam pasaran," katanya pada sidang media Pelancaran Kad Kredit Emas Pulangan Tunai American Express di sini, hari ini.

Maybank menerusi kerjasama dengan American Express memperkenal kad kredit pertama di Malaysia yang menawarkan rebat tunai tanpa had dengan minimum 1.0 peratus bagi semua perbelanjaan yang dikenakan kepada kad.

Mengulas lanjut, Hamirullah berkata, Maybank optimis untuk merekodkan peningkatan dalam industri kad kredit apabila mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus melepasi pertumbuhan negara 5.0 peratus pada tahun lalu.

Maybank ialah pengeluar kad terulung di Malaysia dengan menguasai 20 peratus pegangan pasaran pada Julai 2017.

Kini Maybank merekodkan lebih 16 juta pemegang kad meliputi kad prabayar, kad debit, kad kredit dan kad caj.

Berita Harian X