Selasa, 15 Ogos 2017 | 12:05am
GAMBAR fail, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, Ismail Mohamed (dua dari kanan ), Pengarah Urusan The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Loi Tuan Ee (tiga dari kanan) dan Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Azmi Zainal (kanan) menujukkan susu segar yang di jual dalam pasaran sempena lawatan ke Program Tenusu Syarikat Allied Dairy Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Larkin pada 5 Mac lalu. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Holstein Milk, UPM bangun teknologi penghasilan tenusu

KUALA LUMPUR: The Holstein Milk Co Sdn Bhd, sebuah syarikat bersekutu Khazanah Nasional Bhd memperuntukkan RM15 juta kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membangun dan memindahkan teknologi penternakan serta penghasilan tenusu dan produk berkaitan tenusu.

Syarikat itu, melalui anak syarikatnya, Farm Fresh, hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan UPM untuk bersama-sama mewujudkan sebuah Pusat Kecemerlangan Industri (UPM-FarmFresh ICoE).

ICoE seluas 60 hektar itu, terletak di Taman Pertanian Universiti di Serdang, bertujuan untuk meningkatkan infrastruktur sedia ada Unit Tenusu, Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan dan Pameran UPM.

Pengarah Urusan Holstein Milk Company, Loi Tuan Ee, berkata MOA selama 10 tahun itu membolehkan kedua-dua pihak membangunkan ICoE, yang juga akan menyokong penubuhan Lembaga Tenusu Negara, yang disasarkan pada 2018.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani MOA itu, beliau berkata, syarikat itu mahu menyediakan hubungan langsung antara sains dan amalan, supaya sektor ternakan di Malaysia menjadi lebih inovatif, seterusnya mendapat manfaat daripada amalan pertanian yang baharu.

Tuan Ee berkata, syarikat itu juga akan menyelesaikan pemerolehan ladang di Melbourne, Australia, yang mampu menampung lebih kurang 1,500 lembu Holstein.

Ladang yang bernilai antara RM55 juta dan RM60 juta itu akan menjadi asas kepada syarikat untuk mensenyawakan baka lembu Sahiwal dan menghantarnya ke Malaysia.

"Ini boleh membantu mempercepatkan pembangunan genetik ternakan kami dan tidak hanya bergantung kepada ternakan lembu di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris, berkata ICoE akan menjadi pusat pembelajaran dan pengajaran yang merangsang pelajar untuk mengambil bahagian dalam penternakan tenusu moden.

"Kami juga berharap usaha sama ini akan membantu mengurangkan import produk tenusu," katanya sambil menambah hanya lima peratus daripada susu yang diminum di negara ini dihasilkan melalui ladang tempatan.

Farm Fresh, yang menjadi jenama The Holstein Milk Company, mengeluarkan kira-kira tujuh juta liter susu segar setahun dan dijangka menghasilkan sepuluh juta liter pada tahun depan.

Syarikat itu sekarang, memiliki kira-kira 3,500 lembu tenusu superior Australia Friesia Sahiwal, yang amat sesuai dengan iklim tropika.

Farm Fresh menguasai lebih daripada 39 peratus pasaran susu segar di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X