Isnin, 14 Ogos 2017 | 8:06pm
CHUA Tee Yong (kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ll Pembangunan Pengeksport, Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Sharimahton Mat Saleh (empat kiri) ditemani Pengarah Urusan Les'Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi (tiga kiri) ketika membuat lawatan sempena Mid-Tier Companies Development Programe (MTCDP) di Les'Copaque Production Sdn Bhd, Seksyen 13 Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Upin Ipin rancang taman tema di China

SHAH ALAM: Les' Copaque Production Sdn Bhd (Les' Copaque), syarikat penerbitan kandungan animasi tempatan bakal membangunkan teman temanya sendiri di Xian, China dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. 

Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Razdi, berkata taman tema yang dikenali sebagai Taman Tema Upin Ipin itu akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 5.7 kilometer persegi dengan anggaran nilai pembangunan kasar AS$10 bilion (RM42.9 bilion). 

"Pada masa ini, kami di peringkat perbincangan dengan kerajaan China serta mendapatkan pelaburan bagi projek itu. 

"Jika ia berjalan dengan baik, kami akan menandatangani memorandum persetujuan (MoA) pada Oktober ini," katanya selepas program 'Turun Padang' Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong ke pejabat Les' Copaque di sini, hari ini. 

Beliau berkata, bagi projek taman tema itu, Les' Copaque akan menawarkan kandungan produk dan konsep, manakala pelaburan akan diuruskan oleh China. 

"China adalah satu pasaran besar dengan populasi 1.4 bilion dan berpotensi untuk kami mengembangkan perniagaan ke negara berkenaan. 

"Mereka berminat dengan kandungan yang dikeluarkan oleh Les' Copaque dan bersedia untuk bekerjasama dengan kami," katanya. 

Burhanuddin berkata, Upin Ipin mendapat perhatian daripada kerajaan China kerana dilihat mempunyai kandungan animasi yang mempunyai nilai moral. 

"Kerajaan China sangat tegas mengenai  kandungan produk yang dikeluarkan terutama mengenai idealogi atau membabitkan pertempuran. Ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi dan setakat ini mereka berminat dengan kami ," katanya. 

Ditanya mengenai cadangan pembinaan taman tema Upin Ipin di Malaysia, beliau berkata pihaknya masih berusaha ke arah itu termasuk mendapat sokongan daripada pihak berkaitan di negara ini. 

"Kami masih mencari syarikat berminat untuk bekerjasama melabur dalam pembinaan taman tema itu," katanya. 

INFO:

  • *Les' Copaque menghasilkan animasi Upin Ipin, Pada Zaman Dahulu, Puteri dan DaDuDiDo.
  • *Berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Indonesia, Brunei selain lebih 14 negara menerusi saluran Nickelodeon dan Disney Channel.
  • *Selain filem dan animasi, Les' Copaque turut mengeluarkan pelbagai rangkaian barangan Upin Ipin, makanan dan minuman, akademi latihan, rangkaian restoran serta aplikasi dan permainan.
64 dibaca
Berita Harian X