Isnin, 14 Ogos 2017 | 6:07pm

Pendapatan Media Prima meningkat 21 peratus

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd, peneraju kumpulan media bersepadu sepenuhnya di Malaysia mengumumkan keputusan kewangan suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2017.

Pendapatan Media Prima bagi suku dikaji meningkat sebanyak 21 peratus berbanding suku pertama 2017 disumbangkan oleh pendapatan daripada pengiklanan yang meraih semula momentum selepas bermula dengan perlahan pada awal tahun.

Bagaimanapun, kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai  RM138.4 juta bagi suku kedua 2017 disebabkan oleh hapus nilai sekali saja pelaburan di dalam Malaysian Newsprint Industries Sdn Bhd (MNI) berjumlah RM142.4 juta. 

Jika tidak termasuk hapus nilai sekali saja ini, kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai RM4.0 juta bagi tempoh suku kedua.

Pendapatan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2017 menyusut sebanyak 8 peratus berbanding tempoh kewangan sama tahun 2016.

Kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM601 juta bagi tempoh enam bulan pertama 2017.

Penyusutan ini berpunca daripada perubahan dalam peri laku pengguna dan perubahan teknologi yang memberi kesan kepada industri media secara keseluruhannya.

Kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai separuh pertama 2017 sebanyak RM179.8 juta berbanding keuntungan selepas cukai berjumlah RM41.6 juta bagi tempoh yang sama, mencerminkan kesan akibat daripada penurunan itu.

Sekiranya hapus nilai pelaburan dalam syarikat sekutu dikecualikan, kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai yang lebih rendah iaitu RM37.3 juta.

Manakala kumpulan menerokai inisiatif perniagaan baharu digital dan berasaskan pengguna untuk melengkapi segmen media tradisional.

Pengerusinya, Tan Sri Ismee Ismail, berkata Media Prima komited untuk menyampaikan nilai kepada pemegang saham dengan mengambil kesempatan dalam peningkatan permintaan kepada e-dagang dan kandungan digital di kalangan pengguna.

Kumpulan memulakan inisiatif utama pada 2016 bagi membolehkan perolehan sumber baharu, sementara syarikat menyatukan penguasaan pasaran dalam perolehan pengiklanan teras. 

"Di antaranya, kumpulan sudah melengkapkan pengambilalihan REV Asia Holdings Sdn Bhd pada Ogos 2017 yang mana secara signifikan mengukuhkan capaian digital Media Prima bagi memperoleh pendapatan daripada pertumbuhan dalam pengiklanan digital," katanya.

Segmen beli belah di rumah oleh Media Prima menyumbang secara signifikan kepada pendapatan Media Prima dengan jualan melebihi RM90 juta bagi tahun pertama operasi. 

Kumpulan merancang meningkatkan pendedahan CJ Wow Shop bagi meneroka lebih luas pasaran pertumbuhan membeli belah di rumah/e-dagang dan mencari peluang dengan meluaskan kepelbagaian dengan menawarkan lebih banyak produk tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid,  berkata walaupun  berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak syarikat CJ Wow Shop, kumpulan turut disokong oleh prestasi perniagaan Pengiklanan Luar Rumah (Out-of-Home) dan perniagaan Media Digital yang masing-masing merekodkan 10 peratus dan 22 peratus pertumbuhan dalam pendapatan bagi tempoh enam bulan pertama 2017.

"Pelancaran lokasi baharu pengiklanan sepanjang laluan MRT Sungai Buloh - Kajang serta peningkatan trend dalam penerimaan kandungan digital dikalangan pengguna ditonjolkan bagi kedua-dua platform dalam bergerak ke hadapan," katanya.

Berita Harian X