Khamis, 27 Julai 2017 | 9:49pm
DATUK Seri Nazir Razak. - Foto Rosela Ismail

CIMB maklumkan Bursa Malaysia urus niaga saham oleh Nazir

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd memaklumkan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd mengenai pemindahan lima juta saham bernilai RM31.73 juta dalam syarikat oleh Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebasnya, Datuk Seri Nazir Razak.

Urus niaga itu yang dibuat pada 25 Julai, adalah berasaskan kepada harga RM6.3455 sesaham, kata syarikat dalam makluman kepada bursa.

Dalam emel, CIMB turut menjelaskan pemindahan itu dibuat kepada sebuah syarikat milik Nazir, oleh itu tiada perubahan benefisiari utama saham itu.

Saham bank itu meningkat 19 sen kepada RM6.59 semasa ditutup di Bursa Malaysia.

Nazir menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CIMB pada 1 Jun 1999 dan menggalas jawatan itu susulan penggabungan dengan Bumiputra-Commerce Bank pada 2006.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi pada 1 September 2014.

-BERNAMA

Berita Harian X