Jumaat, 21 Julai 2017 | 10:24pm

LTAT mohon susun semula Affin

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pemegang saham utama Affin Holdings Bhd, mengemukakan permohonan untuk mengecualikannya serta pihak melaksanakan langkah pelaburan dengan matlamat sama (PAC), daripada keperluan melaksanakan pengambilalihan mandatori semua saham-saham biasa dalam Affin Bank Bhd (ABB), yang tidak dimiliki oleh kedua-dua pihak.

Ia sejajar pemuktamadan cadangan pengagihan yang berkaitan penyusunan semula syarikat Kumpulan Affin.

Menerusi satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Affin berkata, syarikat sudah dimaklumkan oleh pemegang 35.42 peratus kepentingannya iaitu LTAT hari ini sudah mengemukakan permohonan menerusi AFFIN Hwang IB kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Dalam makluman kepada bursa tempatan itu pada 16 Februari 2017, Affin berkata sejurus pemuktamadan cadangan pengagihan sejajar usaha penyusunan semula itu, pegangan LTAT dan PAC dalam modal saham terbitan dan berbayar dalam ABB akan meningkat kepada lebih 33 peratus.

"Sehubungan itu, LTAT dan PAC perlu melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori untuk semua saham ABB yang tidak dipegang oleh LTAT atau PAC sejurus pemuktamadan cadangan pengagihan berkenaan," katanya. - BERNAMA

32 dibaca
Berita Harian X