Jumaat, 8 November 2019 | 6:50pm
Anthony Loke (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bagi pembangunan tanah Lot 151, Seksyen 54, Kuala Lumpur di antara RAC dengan LTS Skyline Sdn Bhd, di Kuala Lumpur. - NSTP/Mahzir Mat Isa

LTS Skyline bina pembangunan bercampur di tanah RAC

KUALA LUMPUR: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) memeterai perjanjian dengan LTS Skyline Sdn Bhd bagi membina projek pembangunan bercampur di atas tanah milik perbadanan itu.

LTS Skyline, anak syarikat kumpulan TSLAW akan membangunkan projek apartmen suite dan ruang niaga di tapak seluas 1.21 hektar yang terletak bersebelahan stesen LRT Pudu.

Sebagai pulangan, RAC akan menerima sejumlah RM182.6 juta daripada LTS Skyline yang akan digunakan bagi kepentingan industri perkeretapian negara sekali gus membantu mengurangkan bebanan kewangan kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ini bukan kali pertama RAC terbabit dalam pelaksanaan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, RAC memeterai kerjasama seumpama ini dengan pelbagai pihak, antaranya dengan Perbadanan Menteri Besar Perak dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

“TOD adalah konsep pembangunan yang semakin popular dalam sektor hartanah di Malaysia. Ia dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan jumlah kesesakan di jalan raya serta menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan mereka yang mahu tinggal atau bekerja hampir di tengah pusat bandar.

“Saya meminta LTS Skyline dapat menghubungkan terus projek pembangunan ini dengan stesen LRT Pudu dan turut membina laluan pejalan kaki untuk kemudahan penduduk di situ nanti.

“Selain itu, sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), saya juga meminta syarikat ini supaya dapat menaik taraf stesen LRT berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian bagi pembangunan tanah Lot 151, Seksyen 54, Kuala Lumpur di antara RAC dengan LTS Skyline Sdn Bhd.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar; Pengurus Besar RAC, Azhar Ahmad; Pengerusi Kumpulan TSLAW, Tan Sri Law Tien Seng dan Pengarah LTS Skyline, Law Lai Wai Cheong.

Mengulas lanjut Loke berkata, pulangan tunai yang diterima hasil daripada perjanjian itu amatlah bermakna untuk dilaburkan semula ke dalam rangkaian kereta api di bawah seliaan RAC.

“Antara yang perlu dipertingkatkan adalah kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf infrastruktur perkeretapian supaya mode pengangkutan rel menjadi nadi kepada perhubungan masyarakat sama ada di bandar mahupun luar bandar serta penyelenggaraan bagi aset-aset kereta api,” katanya.

Berita Harian X