Isnin, 28 Oktober 2019 | 12:15pm

Harga rumah mampu milik perlu ikut daerah

KUALA LUMPUR: Harga rumah mampu milik di Malaysia perlu diperincikan mengikut daerah bagi membolehkan kadar yang lebih tepat diketahui.

Penganalisis hartanah, Ahyat Ishak, berkata harga rumah mampu milik di Malaysia ketika ini diukur menggunakan purata mengikut negeri dan negara, yang tidak memberi gambaran sebenar mengenai keadaan hartanah dalam negara.

Katanya, disebabkan itu adalah tidak wajar untuk meletakkan harga rumah mampu milik di Malaysia secara purata iaitu pada harga maksimum RM282,000 untuk isi rumah berpendapatan median atau penengah seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Perbandingan mengikut negeri sahaja tidak mencukupi, namun perlu dibuat lebih terperinci mengikut daerah kerana kadar pendapatan rakyat di setiap daerah adalah berbeza-beza.

“Sebagai contoh di Selangor, kadar pendapatan penduduk di Shah Alam dan di Kuala Selangor sudah pasti berbeza. Begitu juga dengan di Perak, harga rumah mampu milik di Teluk Intan dan Ipoh adalah jauh berbeza.

“Jadi, ia sudah tentu akan mempengaruhi pengiraan harga rumah mampu milik di daerah,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu rumah kediaman di Malaysia yang dikategorikan sebagai ‘sangat tidak mampu milik’ mengikut piawaian antarabangsa.

Kajian itu dibangunkan oleh Demographia International dan dicadangkan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Universiti Harvard.

Mengikut piawaian antarabangsa, kadar harga rumah mampu milik dikira dengan mendarabkan pendapatan tahunan isi rumah dengan tiga.

Sekiranya harga ditawarkan lebih daripada jumlah itu, kediaman berkenaan sudah dianggap sebagai tidak mampu milik.

Mengulas lanjut, Ahyat berkata, isu kediaman sangat tidak mampu milik juga berlaku di bandar utama di negara lain seperti dilaporkan dalam kajian Demographia International.

“Sebagai contoh, San Francisco, di Amerika Syarikat (AS) merekodkan ‘median multiple’ 8.9, iaitu kadar yang dianggap sangat tidak mampu milik. Malah, Hong Kong mencatat kadar paling tinggi iaitu 20.9,” katanya.

Dalam pada itu, Ahyat berkata, rumah mampu milik ini perlu dilihat dari dua sudut iaitu pertamanya dari segi matematik seperti pengiraan rumah mampu milik berdasarkan pendapatan tahunan isi rumah.

Namun tegasnya, terdapat sudut kedua yang perlu diambil perhatian iaitu geografi, apabila sesebuah kediaman itu dianggap tidak mampu milik sekiranya pembeli perlu melalui tempoh perjalanan yang lama ke tempat kerja.

Berita Harian X