Khamis, 24 Oktober 2019 | 4:59pm
Qaiser Iskandar pada sesi taklimat BNM bersama media mengenai hutang isi rumah dan pembiayaan perumahan, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Harga rumah di Malaysia 'sangat tidak mampu milik'

KUALA LUMPUR: Piawaian antarabangsa mengkategorikan rumah kediaman di Malaysia sebagai ‘sangat tidak mampu milik’, demikian menurut kajian yang dibangunkan Demographia International dan dicadangkan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Universiti Harvard.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin, berkata kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah yang baru dibangunkan berikutan harganya di luar keupayaan kewangan mereka.

Beliau berkata, berkata berdasarkan sumber daripada Jabatan Statistik Malaysia, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dan BNM, harga bagi rumah mampu milik di seluruh Malaysia perlu ditawarkan pada harga maksimum RM282,000 untuk isi rumah berpendapatan median atau penengah.

“Bagaimanapun, berdasarkan sumber sama, rumah mampu milik yang ditawarkan dalam pasaran ialah RM298,000 (harga median sebenar).

“Manakala, purata harga bagi pelancaran hartanah baharu yang ditawarkan dalam pasaran adalah pada RM417,262 seunit,” katanya pada sesi taklimat BNM bersama media mengenai hutang isi rumah dan pembiayaan perumahan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu mengenai kemampuan membeli rumah meliputi seluruh negara dan menjurus kepada peningkatan unit rumah tidak terjual.

“Kediaman yang dijual didapati sangat tidak mampu milik di kebanyakan bandar utama. Contohnya, harga maksimum mampu milik bagi rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah sekitar RM454,000, namun median sebenar yang ditawarkan adalah RM793,000.

“Begitu juga di Selangor dengan harga maksimum mampu milik pada RM375,000, tetapi harga median sebenar yang ditawarkan ialah pada RM482,000.

“Manakala, di Pulau Pinang dan Johor harga maksimum mampu milik masing-masing adalah pada RM291,000 dan RM302,000, tetapi harga median sebenar yang ditawarkan masing-masing ialah RM439,000 dan RM350,000,” katanya.

Qaiser Iskandar berkata, tahap ketidakmampuan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah masih menjadi faktor penghalang utama kepada mereka untuk memiliki rumah sendiri.

“Sebuah rumah dianggap mampu milik sekiranya harga ditawarkan tidak lebih daripada tiga kali ganda pendapatan tahunan isi rumah.

“Mengikut faktor kemampuan rakyat berdasarkan ‘median multiple’, harga rumah di Malaysia pada 2016 berada pada kadar 4.8 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah berbanding 3.9 kali ganda pada 2012.

“Ia menunjukkan kadar ketidakmampuan rakyat membeli rumah sendiri adalah semakin meningkat,” katanya.

Berita Harian X