Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:04pm

Beri margin pinjaman tinggi untuk pembeli rumah pertama

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Selangor Dredging Bhd (SDB) mahu kerajaan memperkenalkan dasar yang memberikan pembeli hartanah kali pertama margin pembiayaan yang lebih tinggi dan tempoh pinjaman yang lebih panjang selama 45 atau 50 tahun.

Dalam senarai harapan untuk Belanjawan 2020, syarikat itu berharap kerajaan akan memperkenalkan dasar dan insentif untuk terus memulihkan sektor hartanah tempatan, dengan penekanan diberikan terutamanya untuk membantu golongan muda (mereka yang lahir pada tahun 80-an hingga pertengahan 90-an) untuk memiliki rumah pertama mereka.

Sebahagian daripada “pemimpin masa depan’ ini bergelut untuk memiliki rumah pertama mereka, kata Pengarah Urusan Kumpulan SDB, Teh Lip Kim dalam kenyataan hari ini.

“Bagi mengatasi kesukaran golongan muda dan pemilikan rumah kali pertama, SDB akan melancarkan projek di Subang Jaya pada tahun depan disasarkan khusus kepada segmen itu dan pada harga yang menarik,” katanya.

Lip Kim turut meminta kerajaan melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) selepas 2019.

Pada Jun, kerajaan melanjutkan kempen HOC untuk tempoh enam bulan lagi dari 1 Julai hingga 31 Disember 2019.

“Susulan daripada itu, pengecualian duti setem untuk pembeli rumah kali pertama HOC juga dilanjutkan hingga akhir tahun.

“Sebahagian daripada pembeli kami menyatakan penghargaan dengan lanjutan kempen HOC kerana mereka dapat menikmati pengecualian duti setem dan insentif lain untuk mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.

Di bawah kempen itu, pembeli rumah kali pertama mendapat pengecualian duti setem ke atas memorandum pemindahan dan perjanjian pinjaman untuk pembelian hartanah berharga tidak lebih daripada RM300,000.

Bagi pembelian antara RM300,001 dan RM500,000, pengecualian duti setem yang sama adalah terpakai (terhad kepada hanya RM300,000 pertama daripada harga rumah), dan terpakai untuk perjanjian jual beli yang selesai antara 1 Jan, 2019 dan 31 Dis, 2020.

“SDB turut berharap garis panduan pinjaman untuk pinjaman rumah yang lebih mudah akan digalakkan.

“Di SDB, kami menemui banyak kes di mana bakal pembeli telah membayar fi tempahan mereka hanya menarik balik kemudiannya berikutan pinjaman rumah mereka tidak mendapat kelulusan,” katanya.

Pemaju itu juga mahu kerajaan memperkenalkan mekanisme perkongsian kos dengan penyedia perkhidmatan yang berkaitan semasa fasa pembangunan.

Beliau berkata pemaju tertakluk kepada membayar kos-kos tertentu kepada pihak majlis tempatan dan pelbagai pihak berkuasa dan agensi.

“Semua kos ini menyumbang kepada kos pembangunan projek yang dicadangkan itu, misalnya, kos berkaitan utiliti, di mana pemaju perlu menyumbang,” kata Lip Kim.

“Bergantung kepada lokasi tanah dan jarak tanah kepada pusat di mana air, elektrik atau pembentungan dapat dihubungkan kepada; kos infrastruktur - paip atau kabel untuk disambungkan dengan perkhidmatan utiliti - pada masa ini ditanggung sepenuhnya oleh pemaju hartanah dan boleh menjadi angka yang besar,” katanya.

Di samping itu, syarikat juga berharap kerajaan dapat memudahkan proses permohonan bagi pelepasan kuota Bumiputera.

Beliau berkata proses untuk pelepasan unit Bumiputera kini dibuat melalui permohonan untuk kelulusan selepas pelbagai peringkat pembinaan.

“Biasanya, proses kelulusan ini mengambil masa berbulan-bulan dan ini bermakna pemaju hartanah tidak dapat menjual (sehingga kelulusan diberikan)

“Oleh itu, kita perlu menjadikan proses pelepasan itu lebih cekap, misalnya (apabila syarat dipenuhi) pemaju hartanah dapat menyerahkan notis pelepasan selepas peringkat yang ditetapkan berbanding permohonan untuk kelulusan (biasanya memerlukan tempoh menunggu yang lebih lama),” katanya.

Memandangkan tahun depan Tahun Melawat Malaysia 2020, SDB turut menantikan dasar pemikiran ke hadapan untuk sektor pelancongan.

-BERNAMA

Berita Harian X