Selasa, 3 September 2019 | 1:33pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Pengurus Besar (Perniagaan Unit 1) Sime Darby Property, Leong Yong Kuan dan Pengarah Urusan TNBX Sdn Bhd, Ir Nirinder Singh Johl. NSTP/Zunnur Al Shafiq.

Sime Darby Property, TNBX sedia kediaman hijau pintar

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd, menjadi pemaju pertama menawarkan penyelesaian kediaman hijau pintar di projek pembangunan Elmina Grove menerusi kerjasamanya dengan TNBX Sdn Bhd.

Menerusi kerjasama terbabit, semua unit kediaman di projek yang akan dilancarkan akhir 2019 itu akan dipasangkan dengan solar panel yang kemudiannya membolehkan lebihan elektrik dijual kepada syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah skim Meter Tenaga Bersih (NEM).

Selain itu, pemilik rumah juga boleh menguruskan penggunaan tenaga dengan lebih pintar menerusi meter pintar dan sistem pengurusan tenaga kediaman.

Ketua Pegawai Operasi - Bersepadu Sime Darby Property, Quek Cham Hong, berkata kerjasama itu adalah selari dengan visi syarikat untuk menjadi peneraju membangunkan komuniti lestari, selain menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

“Kerjasama ini hanya membabitkan fasa pertama yang terdiri daripada 513 unit kediaman dan berharap untuk terus bekerjasama dengan TNBX bagi projek akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Sime Darby Property dan TNBX di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sime Darby Property diwakili oleh Pengurus Besar (Perniagaan Unit 1), Apollo Leong Yong Kuan, manakala TNBX oleh Pengarah Urusannya, Ir Nirinder Singh Johl.

MoU disaksikan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Sementara itu Nirinder berkata, TNBX menganggarkan sejumlah satu megawatt (Mw) tenaga akan terhasil daripada solar panel yang dipasang di 513 unit kediaman projek pembangunan Elmina Grove itu.

Katanya, penghuni mampu menikmati penjimatan sehingga 50 peratus bil elektrik mereka bagi kadar penggunaan melebihi RM200 sebulan.

“Kerjasama ini adalah batu loncatan untuk TNBX dan TNB untuk menyertai perniagaan melangkaui meter. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengn SDP, antara pemaju terbesar di Malaysia, bagi menunjukkan kepada orang ramai yang pemasangan solar adalah pilihan dan mampu menawarkan penjimatan,” katanya.

Program NEM ialah inisiatif solar fotovoltaik (PV) oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

702 dibaca
Berita Harian X