Rabu, 28 Ogos 2019 | 6:50pm
Pengarah Urusan Mayland, Datuk Kevin Woo (dua dari kiri) selepas majlis prapelancaran projek pembangunan Dorset Waterfront Subang, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Mayland lancar pembangunan dengan GDV RM1 bilion

SUBANG JAYA: Malaysia Land Properties Sdn Bhd (Mayland) akan melancarkan projek pembangunan terbarunya, Dorset Waterfront Subang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM1 bilion.

Projek yang akan dilancarkan secara rasmi pada 6 September ini dibangunkan dengan kerjasama Dorsett Hospitality International Ltd yang juga anak syarikat milik penuh Far East Consortium International Ltd yang disenaraikan di bursa saham Hong Kong.

Mengulas mengenainya, Pengarah Urusan Mayland, Datuk Kevin Woo, berkata projek pembangunan berkenaan dijangka memenuhi minat pembeli memandangkan ia terletak di lokasi yang menarik di Subang dan dilengkapi dengan kemudahan berkualiti tinggi.

“Projek pembangunan Dorsett Waterfront Subang ini terdiri daripada 1,989 unit suite servis yang menghadap Tasik Rekreasi Subang Ria dan dibangunkan di antara hotel Dorsett Grand Subang dan Pusat Perubatan Subang Jaya.

“Harga jualannya disifatkan sebagai mampu dimiliki dengan purata RM1,000 untuk setiap kaki persegi dengan luas binaan bagi semua unit adalah antara 399 kaki persegi dan 570 kaki persegi.

“Dianggarkan 60 peratus iaitu kira-kira 1,200 unit dijual pada harga di bawah RM600,000 dan ia memberikan pilihan yang menarik bagi golongan profesional muda dan keluarga pertengahan yang mencari rumah pertama mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran pembangunan berkenaan di sini, baru-baru ini.

Dorsett Waterfront Subang menawarkan keselesaan bagi penduduknya dengan akses mudah ke lebuhraya utama seperti Lebuhraya Pantai Baru, laluan Subang-Kelana Jaya, Lebuhraya Konsortium Shah Alam Selangor dan juga Lebuhraya Persekutuan.

Selain itu, ia juga mempunyai sambungan pengangkutan awam termasuklah tren RapidKL Transit Aliran Ringan (LRT) dan laluan Transit Aliran Massa (MRT).

Woo berkata, sehingga kini, projek pembangunan itu juga sudah menerima 350 tempahan daripada pembeli berpotensi dengan jumlah jualan keseluruhan bernilai hampir RM185 juta.

“Dengan lokasi strategik dan nisbah nilai yang tidak boleh ditandingi, kami yakin bahawa projek pembangunan Dorsett Waterfront Subang ini akan meraih lebih banyak jualan sebelum kami memulakan kerja cerucuk pada November tahun ini.

“Walaupun pasaran hartanah berhadapan dengan masa yang sukar, kami dapati pembeli berpotensi telah beralih kepada segmen mampu milik dengan adanya lebih banyak produk kreatif dalam sektor komersial,” katanya.

72 dibaca
Berita Harian X