Jumaat, 9 Ogos 2019 | 5:16pm

GSB cadang ambil alih syarikat pembangunan hartanah

KUALA LUMPUR: GSB Group Bhd merancang meningkatkan perniagaan pembangunan hartanahnya melalui cadangan pengambilalihan empat syarikat pembangunan hartanah dengan nilai RM714.71 juta.

Pengerusi Eksekutif, Datin Toh Siew Chuon, berkata syarikat telah memeterai perjanjian jualan saham bersyarat untuk mengambil alih seluruh kepentingan dalam Aeon Frontier Sdn Bhd (AFSB), Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd (KPP) dan Kerjaya Hotel Sdn Bhd (KHSB) bernilai RM672.04 juta.

Syarikat turut memeterai perjanjian langganan saham bersyarat untuk cadangan langganan sebanyak 99.4 peratus kepentingan ekuiti dalam Desanda Property Sdn Bhd (DPSB) bernilai RM42.67 juta.

Siew Chuon berkata, cadangan pengambilalihan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai pada suku pertama 2020.

AFSB, KPP dan DPSB dimiliki bersama oleh Datuk Tee Eng Ho dan Pengarah Eksekutif GSB, Tee Eng Seng.

Sementara itu, KHSB dimiliki bersama oleh Siew Chuon, Eng Ho dan Eng Seng, dengan Javawana Sdn Bhd mempunyai 40.8 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Siew Chuon berkata, pengambilalihan terbabit akan memberikan GSB akses segera kepada projek pembangunan hartanah yang sedang dijalankan dengan jumlah baki nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.74 bilion di lokasi strategik di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Kami gembira menjadi sebahagian daripada urus niaga ini untuk menjadikan GSB sebagai penggiat pembangunan hartanah yang besar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengambilalihan itu turut menjadi platform untuk meningkatkan simpanan tanah syarikat dan memperluaskan kedudukannya ke Melaka dan kawasan lain di Selangor seperti Gombak.

Bagi memudahkan pengambilalihan itu, GSB merancang melaksanakan pengumpulan dana sehingga 125 juta saham disatukan (pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian), penyatuan saham (setiap lima saham sedia ada menjadi satu saham) dan pindaan kepada perlembagaannya.

Pengambilalihan AFSB, KPP dan KHSB akan dipenuhi melalui RM100 juta secara tunai, terbitan 196.9 juta saham biasa GSB baharu pada harga terbitan sebanyak 17 sen sesaham (RM33.47 juta) dan terbitan 3.168 bilion saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) pada harga terbitan sebanyak RM0.17 setiap RCPS.

Sementara itu, pembayaran langganan DPSB akan melalui aturan penyelesaian yang termasuk, antara lain, pelaburan semula sebanyak 251 juta saham GSB baharu oleh Eng Ho dan Eng Seng pada harga terbitan sebanyak RM0.17 sesaham, berjumlah RM42.67 juta. - BERNAMA

Berita Harian X