Ahad, 4 Ogos 2019 | 7:08pm

PR1MA kenakan yuran tempahan RM500

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), agensi perumahan mampu milik melaksanakan yuran tempahan sebanyak RM500 kepada semua bakal pembeli, berkuat kuasa 1 Jun lalu.

PR1MA menerusi laman webnya berkata, yuran berkenaan dikenakan sebagai komitmen pembelian sehingga perjanjian jual beli rumah ditandatangani dan disetem.

“Yuran tempahan itu akan dikenakan ketika membuat tempahan pembelian rumah dan semua pembayaran mestilah dibuat atas nama Perbadanan PR1MA Malaysia dan disahkan di dalam sistem PR1MA sebelum surat tawaran pembelian (OTP) dikeluarkan.

“Manakala bagi projek perumahan di Sarawak, pembayaran dibuat di atas nama PR1MA Development Sdn Bhd,” katanya.

PR1MA berkata, pada masa ini, pihaknya tidak menerima sebarang pembayaran melalui tunai atau pindahan wang sehingga perkara itu dimaklumkan kemudian.

“Pembayaran yuran berkenaan perlu dibuat melalui cek atau deraf bank," katanya.

Selain itu, PR1MA berkata, yuran tempahan itu boleh dikembalikan tertakluk kepada syarat dan dokumen sampingan yang diperlukan.

“Langkah yang perlu diambil pembeli bagi pemulangan yuran tempahan ialah dengan menulis surat dan e-mel kepada info@pr1ma.my.

“Permohonan bagi pemulangan yang sudah diluluskan akan mengambil masa sehingga tiga bulan dan jumlah berkenaan akan dikreditkan ke dalam akaun bank pembeli,” katanya.

Lokasi pembangunan PR1MA terletak di bandar utama seluruh Malaysia dan kediaman yang ditawarkan berharga dalam lingkungan RM100,000 hingga RM400,000.

Secara umumnya, rumah teres yang dibangunkan PR1MA berukuran dari 850 kaki persegi hingga 1,850 kaki persegi, manakala apartmen PR1MA berukuran dari 600 kaki persegi hingga 1,200 kaki persegi.

Dalam pada itu, PR1MA turut menawarkan diskaun dan rebat menarik sepanjang penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berlangsung sehingga Disember ini.

Agensi perumahan itu menawarkan 10 peratus diskaun dan rebat sehingga 20 peratus dengan pengecualian duti setem (tertakluk terma dan syarat).

Berita Harian X