Ahad, 4 Ogos 2019 | 7:08pm
Titijaya lancar secara rasmi Seiring Residensi, fasa pertama projek bandar baharu Damaisuria.

Titijaya lancar Seiring Residensi

KUALA LUMPUR: Titijaya Land Bhd melancarkan Seiring Residensi, iaitu fasa pertama projek bandar baharu yang dibangunkan di Damaisuria, Bukit Subang di Shah Alam.

Seiring Residensi dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM677 juta, membabitkan pembinaan apartmen khidmat yang direka khusus untuk memenuhi gaya hidup mewah dan elegan.

Terdiri daripada empat menara, Seiring Residensi menawarkan pilihan unit kediaman bersaiz daripada 668 kaki persegi kepada 972 kaki persegi, dengan dilengkapi empat bilik.

Menara pertama Seiring Residensi (Tower A) sudah dilancarkan baru-baru ini dan ia merangkumi sejumlah 370 unit.

Menampilkan susun atur moden dan praktikal, ruangan berkenaan direka bentuk bagi memenuhi gaya hidup penghuni bandar Subang.

Pengarah Eksekutifnya, Charmaine Lim Puay Fung, berkata Seiring Residensi terdiri daripada rekaan lebih teliti dengan idea inventif (berdaya cipta).

“Ia direka untuk setiap pemilik rumah daripada mereka yang tinggal seorang diri sehingga kepada mereka yang sudah berkeluarga.

“Melalui kemudahan pendidikan, perkhidmatan, peruncitan dan hiburan yang terletak berhampiran projek berkenaan, pembangunan itu dijangka dapat memenuhi keperluan gaya hidup terbaik buat generasi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Damaisuria adalah projek pembangunan hartanah baharu bersepadu oleh Titijaya di Bukit Subang.

Dibangunkan dalam empat fasa, Damaisuria dijangkakan memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.59 bilion.

Manakala, Tower A Seiring Residensi dijangka memiliki GDV sebanyak RM168 juta.

Berita Harian X