Isnin, 29 Julai 2019 | 9:46pm
PENGERUSI YSB Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (tengah) bersama Pengerusi SC Estate Builder, Datuk Cheng Lai Hock (tiga dari kanan) serta Pengarah Urusan SC Estate Builder, Loh Boon Ginn (dua dari kanan) bergambar beramai selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Sumbangan Dana Pendidikan SC Estate Builder Berhad, Sumbangan Saham SC Estate World Sdn Bhd kepada Yayasan Sultanah Bahiyah, di Saujana Hotel Subang. Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (dua dari kiri). - Foto Mahzir Mat Isa

SC Estate sumbang dana pendidikan RM1 juta kepada YSB

PETALING JAYA: SC Estate Builder Bhd, syarikat pembinaan terkemuka, menyalurkan dana pendidikan sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dalam usahanya menyokong pembangunan modal insan negara.

Pengarah Urusannya, Loh Boon Ginn, berkata dana pendidikan itu akan disalurkan dalam tempoh 10 tahun dengan agihan RM100,000 setiap tahun bermula 2020 hingga 2030.

“Sebagai syarikat korporat yang terbabit dalam industri pembinaan, pihak kami komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terutamanya dalam inisiatif pendidikan untuk meningkatkan pembangunan modal insan,” katanya pada majlis memorandum persefahaman (MoU) antara SC Estate Builder dan YSB di sini, hari ini.

SC Estate Builder diwakili Pengerusinya, Datuk Cheng Lai Hock dan Boon Ginn manakala YSB diwakili Pengerusinya, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah sambil disaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Dalam majlis sama, SC Estate World Sdn Bhd turut menyerahkan 2 juta unit saham kepada YSB. SC Estate World antara pemegang saham kepada SC Estate Builder.

SC Estate Builder yang disenaraikan di Pasaran ACE terbabit dalam merekabentuk dan membina khususnya projek perumahan mampu milik, pembangunan projek infrastruktur dan hab pendidikan serta berkaitan dengan industri pembinaan.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah, sumbangan berkenaan menjadi aset tambahan kepada YSB yang akan dicairkan pada masa yang bersesuaian.

“YSB adalah sebuah pertubuhan yang bergiat aktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program meliputi pelbagai aspek dan peringkat umur.

“Sejak penubuhannya 23 tahun lalu, YSB sentiasa mementingkan pendidikan sebagai aspek penting dalam kehidupan dan berjaya membiayai seramai 2,880 pelajar mendapat kelas tambahan percuma dengan pembiayaan sebanyak RM1 juta setahun menerusi Projek Titian Bistari.

“Projek ini akan diteruskan dengan memperkenalkan modul bersesuaian kepada pelajar sebagai persediaan kepada pembelajaran alaf baharu,” titahnya.

153 dibaca
Berita Harian X