Isnin, 29 Julai 2019 | 9:06pm
LEONG Hoy Kum

M Luna babit kos RM705 juta di Kepong

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka tempatan dengan memperoleh tanah seluas 2.21 hektar di Taman Metropolitan, Kepong dengan nilai RM94.8 juta.

Tanah yang terletak di lokasi tumpuan itu terletak 200 meter dari Taman Metropolitan Kepong seluas 95 hektar, termasuk tasik seluas 57 hektar.

Kawasan itu dijangka sedia untuk dibangunkan untuk projek terbarunya, M Luna, membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM705 juta dengan dua blok apartmen servis bertemakan konsep mewah mampu milik.

Dengan saiz binaan seluas 700 kaki persegi, projek yang mula dibuka untuk jualan bermula suku keempat 2019 itu dijual bermula RM385,000.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata ia adalah pengambilalihan tanah kedua kumpulan bagi 2019 dan perjanjian itu mencerminkan kemampuan Mah Sing untuk tanah di lokasi utama pada harga berpatutan.

“Tanah ini sedia untuk pembangunan segera kerana sudah memperoleh arahan pembangunan (DO). Lokasinya yang strategik akan dipertingkatkan dengan penambahbaikan infrastruktur yang dirancang di kawasan sekitar. Ia adalah lokasi yang baik untuk pembangunan khusus,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Pengambilalihan itu akan meningkatkan pemilikan kawasan tanah utama Mah Sing kepada 851.4 hektar, dengan jumlah keseluruhan GDV dan jualan belum dibelanjakan sebanyak RM25.84 bilion, yang mana ia mampu mengekalkan pertumbuhan kumpulan dalam tempoh lapan hingga sembilan tahun akan datang.

Kumpulan kini berada pada lembaran imbangan yang sihat dengan tunai sebanyak RM1.3 bilion bagi suku berakhir 31 Mac 2019.

Sementara itu, Hoy Kum berkata, M Luna disasarkan untuk pembeli rumah pertama dan ke atas.

“Sebagai peneraju pasaran, kami memahami kehendak pelanggan, sebab itu kami sentiasa komited membangunkan projek mampan dengan kualiti tinggi.

“Pengambilalihan terbaru ini sejajar dengan strategi kumpulan untuk membangunkan projek di lokasi utama, yang sedia untuk dibangunkan,” katanya.

Strategi membina rumah mewah mampu milik kini berada pada landasan betul disokong oleh jurang antara bekalan dan permintaan di Malaysia, yang mana sebanyak 212,744 isi rumah baharu direkodkan dalam tempoh setahun berbanding 88,000 rumah baharu siap dibina setahun. (2012 hingga 2017).

“Kami akan teruskan dengan strategi kami untuk menyediakan rumah dengan ciri mewah pada harga mampu milik yang mana kami percaya permintaan akan terus mencari produk yang betul di lokasi yang tepat pada harga yang betul,” kata Hoy Kum.

Projek eksklusif itu akan menikmati keindahan Hutan Simpan Bukit Lagong, yang terletak berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dan 200 meter Taman Metropolitan Kepong.

M Luna terletak kira-kira 3.3 kilometer (km) dari Stesen MRT2 Metro Prima yang dijangka beroperasi pada 2021 dan 4km dari Stesen KTM Taman Wahyu.

189 dibaca
Berita Harian X