Isnin, 15 Julai 2019 | 8:08pm

Berjaya Land tembusi pasaran hotel Iceland

KUALA LUMPUR: Berjaya Land Bhd (BLand), yang dikuasai oleh hartawan Tan Sri Vincent Tan, membeli 75 peratus kepentingan dalam Icelandair Hotels ehf bernilai AS$53.63 juta (RM222.03 juta), sekali gus membolehkan kumpulan itu menembusi segmen hotel mewah di Iceland.

BLand dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, cadangan pengambilalihan itu sejajar dengan peluasan geografi kumpulan dan pengembangan pendapatannya.

“Segmen hotel mewah di Iceland dijangka berkembang dan pengambilalihan yang dicadangkan ini akan membolehkan kumpulan menembusi segmen ini dengan lokasi hotel strategik di tengah-tengah Iceland, serta beberapa hotel yang dikendalikan di bawah jenama Hilton," katanya.

BLand berkata, anak syarikat milik penuh Irelandnya, Berjaya Property Ireland Ltd (BPIL), pada 13 Julai lalu menandatangani perjanjian pembelian saham (SPA) dengan Icelandair Group hf untuk cadangan pengambilalihan itu.

BPIL juga memeterai perjanjian pemegang saham dan perjanjian opsyen “put and call” dengan Icelandair Group untuk baki 25 peratus kepentingan dalam New Icelandair Hotels Group, selepas tiga tahun pasca selesainya cadangan pengambilalihan itu.

Hotel Icelandair kini mengendalikan 20 hotel dengan jumlah bilik sebanyak 1,811 yang terletak di seluruh Iceland.

Di samping itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang baharu di dalam kawasan Parlimen Reykjavik yang dibangunkan dengan kerjasama Hilton Hotels, dijadual akan dilancarkan pada 2020.

Berita Harian X