Khamis, 4 Julai 2019 | 6:34pm
Pelbagai elemen penting jadi daya penarik.

Sentul tumpuan pelabur hartanah

TERLETAK kurang 15 kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Lumpur menjadikan Sentul sebagai lokasi pilihan tepat bagi mereka yang mahu memiliki kediaman impian dengan gaya hidup bandar kerana lokasinya yang mudah diakses dan dikelilingi oleh pelbagai kemudahan awam untuk ke mana sahaja.

Jarak pemanduan kurang daripada 30 minit ke pusat bandar juga menjadikan daerah ini sebagai tumpuan utama golongan pekerja yang tidak mampu membeli rumah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Berdasarkan carian penulis di laman utama carian hartanah, kediaman bertingkat seperti apartmen dan kondominium dijual sekitar RM280,000 hingga RM500,000 dengan keluasan melebihi 1,000 kaki persegi.

Malah, ada pemilik yang sanggup menjual unit kediaman mereka di bawah harga pasaran. Melihat kepada situasi ini, Sentul yang dahulunya kurang popular berbanding lokasi di Ampang dan Wangsa Maju mampu menjadi lokasi tumpuan kerana harga rumahnya yang masih mampu milik dan tidak terlalu melambung tinggi.

Khidmat nasihat pakar

Apa yang penting adalah bagaimana pembeli mendapatkan khidmat nasihat pakar dan membandingkan harga kediaman yang ditawarkan di lokasi ini.

Kedudukan Sentul yang berhampiran dengan Titiwangsa; Bukit Tunku; Setiawangsa; Mont Kiara dan Damansara Heights menjadikan ia kawasan yang berpotensi tinggi untuk menjadi kawasan tumpuan pelabur hartanah memandangkan lokasinya yang sangat strategik serta diramal akan mengalami peningkatan hartanah pada masa hadapan.

Populasi kawasan ini juga sangat harmoni yang mana ia didiami sama rata oleh kaum Melayu, Cina dan India.

Selain akses pengangkutan awam seperti KTM dan LRT, Sentul juga dihubungkan dengan beberapa lebuh raya utama antaranya DUKE, MAHAMERU, MRR2, AKLEH, SPRINT dan Jalan Duta.

Kemudahan, lokasi strategik

Dengan jaringan yang luas, sudah tentu ia mampu menjimatkan jarak perjalanan penduduk Sentul untuk ke sesuatu destinasi.

Faktor ini juga menjadi elemen penting sebagai daya penarik bagi potensi sesebuah hartanah seperti Sentul.

Siapa tidak mahu kediaman yang hampir dengan pusat bandar Kuala Lumpur dan memiliki segala kemudahan yang diperlukan bukan?

Walaupun harga kediaman di sini rata-ratanya berharga RM280,000 dan ke atas bergantung kepada jenis hartanah, anda mampu berjimat banyak dengan menggunakan kemudahan awam yang disediakan.

Anda boleh sahaja memilih rumah sub-sale atau projek baharu bergantung kepada bajet yang ada. Antara projek baharu yang sedang dibangunkan adalah M Centura, Sentul dan Projek Perumahan Kos Rendah Sentul Raya.

176 dibaca
Berita Harian X