Jumaat, 28 Jun 2019 | 2:51pm
LIM Hock San (tiga dari kiri) ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) LBS di Petaling Jaya. - Foto Mahzir Mat Isa

LBS optimis capai sasaran jualan RM1.5 bilion

PETALING JAYA: Pemaju perbandaran, LBS Bina Group Bhd (LBS) optimis dapat mencapai sasaran jualan RM1.5 bilion yang ditetapkan untuk tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San berkata sehingga hari ini, LBS sudah berjaya mencatat jualan hartanah sebanyak RM766 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, LBS mencatat jualan RM290 juta dalam tempoh dua bulan terakhir untuk separuh pertama tahun iaitu pada Mei dan Jun berikutan inisiatif Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diperkenalkan kerajaan pada awal tahun ini.

“Jualan bagi separuh tahun pertama LBS sehingga Jun sebahagian besarnya disumbangkan menerusi projek CyberSouth berhampiran Cyberjaya dan Alam Perdana di Bandar Puncak Alam di Selangor.

“Selain itu, kami juga mempunyai 18 projek yang sedang dibangunkan dengan nilai sekitar RM4 bilion,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) LBS di sini, hari ini.

Sehingga 31 Mei lalu, jumlah jualan belum dibilkan LBS adalah sebanyak RM1.745 bilion. Jumlah simpanan tanah Kumpulan pula adalah sebanyak 1,499 hektar.

Mengulas lanjut, Lim berkata pihaknya juga akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan projek perumahan mampu milik.

“Memandangkan situasi pasaran kini agak mencabar, ditambah pula dengan proses kelulusan pembiayaan daripada bank yang lebih ketat, saya berpendapat pemaju hartanah perlu segera menyesuaikan diri dengan situasi ini.

“Di pihak LBS, kami sudah memulakan pembangunan hartanah yang mendapat permintaan ramai seperti rumah bertanah pada harga yang mampu milik. Justeru, saya menyifatkan kami masih lagi mampu menyerap kesan yang berlaku akibat kelembapan pasaran hartanah,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, sebagai pemaju pembangunan, pihaknya berharap kerajaan dapat melanjutkan HOC sehingga akhir tahun ini.

“HOC yang dilancarkan Kementerian Kewangan adalah insentif yang cukup bagus kepada mereka yang mahu membeli rumah. Ia memberikan pengecualian duti setem kepada pembeli rumah,” katanya.

Berita Harian X