Jumaat, 17 Mei 2019 | 3:05pm
SHELDON Fernandez

Perumahan mampu milik tetap jadi permintaan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia didapati masih yakin dengan pasaran hartanah tempatan, namun majoriti masih memerlukan lebih banyak inisiatif perumahan mampu milik nasional.

Berdasarkan Tinjauan Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2018 PropertyGuru, 63 peratus rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan boleh melakukan usaha yang lebih baik untuk menjadikan rumah lebih mampu milik, meskipun mereka berpuas hati dengan pendekatan kerajaan untuk menyediakan hartanah mampu milik.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata majoriti masih merasakan pendekatan yang lebih holistik perlu diambil untuk mengatasi jurang yang besar dalam pasaran hartanah.

“Sentimen ini berlaku gara-gara persepsi dalam kalangan masyarakat yang percaya bahawa harga hartanah di negara ini akan kekal tinggi.

“Di samping itu, keadaan pasaran tidak sesuai dan kekurangan modal serta pilihan kewangan yang bagus juga dianggap sebagai cabaran bagi pembeli yang mencari hartanah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 93 peratus responden yang terbabit dalam tinjauan berkenaan pada suku pertama 2013 menyatakan rasa tidak puas hati terhadap inisiatif perumahan yang disediakan pada masa itu.

Menurutnya, kadar itu telah berkurangan kepada 63 peratus dalam tinjauan Separuh Kedua 2018 yang dijalankan baru-baru ini, apabila tahap kepuasan meningkat dari tujuh peratus hingga 22 peratus dalam jangka masa yang sama.

“Perubahan ini menggambarkan peningkatan keyakinan terhadap inisiatif sektor awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan juga bagaimana rakyat Malaysia mahu kerajaan menyediakan inisiatif dalam perumahan negara yang lebih mampu milik kepada rakyat,” katanya.

Sheldon berkata, tahap sambutan terhadap program perumahan mampu milik sedia ada adalah rendah meskipun terdapat permintaan terhadap inisiatif itu.

Contohnya, hanya 19 peratus peserta daripada kaji selidik telah memohon untuk skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Untuk inisiatif rumah mampu milik lain, kadar penyertaan adalah dari empat hingga sembilan peratus yang membabitkan Rumah Selangorku, RumaWIP, Skim Rumah Pertamaku, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan MyHome.

Malahan, 41 peratus peserta kaji selidik ini menyatakan bahawa mereka tidak layak untuk memohon inisiatif perumahan negara terbabit.

“Sebilangan besar dari pencari rumah sama ada tidak layak atau tidak mengetahui mengenai inisiatif yang ditawarkan.

“Cabaran lain adalah kerana kurangnya konsensus mengenai apa sebenarnya yang membentuk perumahan mampu milik. Harga asas berbeza dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

“Berdasarkan maklumat itu, majoriti responden (hampir lapan daripada 10 orang) menganggap hartanah di dalam lingkungan RM300,000 hingga RM500,000 berada dalam spektrum harga yang berpatutan,” katanya.

120 dibaca
Berita Harian X