Rabu, 15 Mei 2019 | 5:58pm
Ketua Menteri, Adly Zahari (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Pengarah Scientex Heights Sdn Bhd, Khaw Giet Thye (dua dari kanan) sambil diperhatikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hassan (kiri) dan Pengarah Scientex Heights Sdn Bhd, Gan Kok Khye (kanan) pada majlis memeterai projek usahasama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dengan Scientex Heights Sdn Bhd di Ayer Keroh. NSTP/Rasul Azli Samad.

LPM, Scientex bangun projek perumahan bercampur

AYER KEROH: Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dengan kerjasama Scientex Heights Sdn Bhd akan membangunkan projek perumahan bercampur di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini bernilai RM438.72 juta.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata projek itu turut meliputi pembangunan 462 unit Rumah Mampu Milik (RMM), Rumah Belia (280 unit) dan Rumah Harapan (173 unit) bagi membantu rakyat tempatan memilki rumah sendiri.

Beliau berkata, projek itu yang membabitkan dua fasa, dijangkakan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun, dengan setiap fasa dijadual siap dalam tempoh tiga tahun.

“Projek yang dilaksanakan di kawasan seluas 78.08 hektar itu turut meliputi pembinaan 2,058 unit rumah teres yang akan dijual pada harga antara RM80,000 dan RM425,000.

“Justeru, kita dapat memenuhi keperluan penduduk setempat dan kawasan sekitar untuk memilih Melaka sebagai tempat kediaman mereka," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian projek berkenaan di sini, hari ini.

LPM diwakili Pengarah Eksekutifnya, Saleh Mohd Dom manakala Scientex Heights Sdn Bhd diwakili Pengarah Eksekutifnya, Gan Kok Khye.

Sementara itu, Saleh berkata fasa pertama projek itu membabitkan pembinaan 776 unit rumah bernilai RM142.91 juta kawasan seluas 22.75 hektar manakala fasa kedua pula membabitkan pembinaan 1,744 unit rumah bernilai RM295.8 juta.

“Bagi fasa pertama, 40 peratus daripada kediaman yang dibina terdiri daripada RMM, manakala bagi fasa kedua 20 peratus kediaman RMM, dan masing-masing 10 peratus untuk Rumah Harapan dan Rumah Belia,” katanya.

-BERNAMA

61 dibaca
Berita Harian X