Selasa, 14 Mei 2019 | 3:14pm
Pengarah Urusan Gamuda Estates Kundang, Lam Sew Chee (kiri), Pengarah Projek Gamuda Land, Aw Sei Cheh (dua kiri), Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen (tengah), Adun Kuang, Salehuddin Amiruddin dan Jurutera Jabatan Kerjaraya, Ahmad Farsi Mohd Gazali (kanan) memotong reben sebagai simbolik pelancaran Jalan BBK Utama, Bandar Baru Kundang di Gamuda Estates Kundang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Gamuda Land labur RM12 juta naik taraf BBK

RAWANG: Gamuda Land melabur RM12 juta bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan Bandar Baru Kundang (BBK).

Pelaburan merangkumi kerja-kerja penambahan 800 meter panjang dan 100 kaki lebar jalan di Jalan BBK Utama, rekaan landskap serta naik taraf sistem saliran.

Penambahbaikan akses jalan itu dijangka bukan saja memberi manfaat kepada penduduk projek Kundang Estates yang dibangunkan Gamuda Land tetapi juga komuniti di sekitar BBK.

Pengurus Besar Kundang Estates, Lam Sew Chee berkata kerja naik taraf jalan berkenaan yang dijalankan pihaknya turut memberikan inspirasi kepada pihak berkuasa tempatan untuk turut sama menambah baik Jalan Kundang.

“Perkara itu pastinya memberikan lebih keselesaan dan keselamatan kepada komuniti Kundang Estates dan penduduk di sekitarnya.

“Adalah menjadi prinsip Gamuda Land untuk membangunkan projek perbandaran yang dirancang dengan teliti bagi membolehkan pembeli kami selesa untuk tinggal di dalamnya,” katanya pada majlis pelancaran jalan berkenaan di Kundang, dekat sini, hari ini.

Pada majlis yang sama turut diadakan perasmian Pusat Komuniti baharu Kundang Estates.

Ia disempurnakan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang, Sallehudin Amiruddin.

Projek pembangunan Kundang Estates dibangunkan di atas tapak seluas 36 hektar di Bandar Baru Kundang, Sungai Buloh.

Ia dilancarkan pada 2016 dan mempunyai dua fasa pembangunan.

Fasa pertama merangkumi 222 unit kediaman dan ia sudah siap dibina sepenuhnya serta sedang dalam proses serah milik kepada pembeli.

Mengulas lanjut, Sew Chee berkata Pusat Komuniti berkenaan akan dibuka kepada orang ramai dan bukan hanya terhad kepada pembeli projek Kundang Estates sahaja.

“Pusat Komuniti itu boleh digunakan bagi tujuan sukan dan kecergasan dan ia turut dilengkapi dengan tiga gelanggang badminton di dalamnya,” katanya.

310 dibaca
Berita Harian X