Sabtu, 11 Mei 2019 | 7:50am

Sunsuria City tepati keperluan terkini, mampu milik

KUALA LUMPUR: Sunsuria City, perbandaran bercampur pertama dibangunkan kumpulan hartanah Sunsuria Bhd (Sunsuria) di Putrajaya South, Salak Tinggi adalah pilihan hartanah yang wajar dipertimbangkan bagi pembeli, terutama pembeli rumah pertama dan pelabur.

Pembangunan yang direka dan dibina bagi memenuhi prinsip asas 'Pintar, Selesa, Lestari' itu dibina dengan mengambil kira pelbagai elemen yang diperlukan pembeli hartanah masa kini.

Sunsuria City dianggap antara sebuah daripada bandar satelit bertaraf dunia dan ia dirancang dengan teliti bagi memastikan komponen pendidikan, kediaman dan komersial disepadukan dengan lancar.

Secara keseluruhannya, Sunsuria City dibina sebagai sebuah perbandaran yang menepati inisiatif pembangunan hijau yang mapan serta menggabungkan ciri-ciri cekap tenaga bagi mengurangkan pembaziran dan memelihara ekosistem.

Ketua Pegawai Operasi Sunsuria, Simon Kwan, berkata Sunsuria City adalah pembangunan hartanah berstatus pegangan kekal yang dibangunkan di kawasan seluas 525 ekar (212 hektar) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM10 bilion.

“Projek berkenaan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun dan setakat ini kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan kawasan sudah dibangunkan dengan beberapa projek hartanah yang mendapat permintaan memberangsangkan dalam kalangan pembeli.

“Pembangunan ini memiliki pemangkin yang tepat bagi setiap elemen hartanah yang diperlukan masyarakat masa kini, sekali gus terus mengukuhkan Sunsuria sebagai salah satu pemaju hartanah tempatan yang diyakini,” katanya dalam satu temu bual bersama BH dan NST, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi meletakkan Sunsuria sebagai pemaju pemangkin dan 'pencipta kandungan' yang berjaya, syarikat memanfaatkan rangkaian dan sumber yang kukuh seperti Universiti Xiamen Malaysia, iaitu pemangkin utama untuk Sunsuria City, selain ia berdekatan dengan Horizon Village Outlets (HVO) dan Rangkaian Rel Ekspres (ERL).

Selari dengan fasa pembangunan yang dijalankan secara berperingkat di perbandaran bercampur itu, Kwan berkata, Sunsuria City meneruskan kepada pelancaran hartanah terbaru, iaitu Tangerine Suites.

Beliau berkata, Tangerine Suites yang membabitkan GDV dianggarkan berjumlah RM236 juta merangkumi pembinaan apartmen servis berstatus pegangan kekal di kawasan seluas 2.7 hektar (6.58 ekar).

“Tangerine Suites dibina berkonsepkan rumah mampu milik untuk semua. Ia ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM285,000 untuk unit apartmen servis.

“Kami menyediakan pilihan unit bersesuaian mengikut pilihan pembeli iaitu 635 kaki persegi (1+1 bilik tidur); 700 kaki persegi (2+1 bilik tidur) dan 936 kaki persegi (2+1 bilik tidur),” katanya.

Kwan berkata, Tangerine Suites yang dibina dengan diinspirasikan rekaan Peranakan, menggabungkan tema ketimuran (oriental) dan masyarakat setempat adalah pilihan terbaik kepada pembeli terutama pembeli rumah pertama dan keluarga yang mementingkan persekitaran nyaman serta unik.

“Dengan tawaran harga sangat berpatutan serta memenuhi keperluan pembeli, kami optimis penjualan unit Tangerine Suites akan mendapat sambutan positif. Apatah lagi tawaran unit adalah bagi pembeli Bumiputera yang menginginkan kehidupan dan kediaman selesa pada harga mampu milik.

“Selain berada di lokasi strategik dengan pusat pendidikan, Universiti Xiamen Malaysia, Tangerine Suites juga dibina berdekatan dengan kemudahan KLIA Aeropolis, HVO dan hub transit ERL menghubungkan KL Sentral dan KLIA serta berdekatan dengan rangkaian lebuh raya utama Putrajaya-Cyberjaya Expressway (FT29) menghubungkan Elite Interchange dan Lebuh Raya MEX,” katanya.

450 dibaca
Berita Harian X